Berita Harian Online | PERODUA pertimbang skim pajakan individu
PERODUA pertimbang skim pajakan individu
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2012/03/05
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan mempertimbangkan cadangan skim pajakan kereta keluarannya kepada pengguna individu, jika kemerosotan jualan susulan penilaian lebih ketat oleh bank terhadap bakal pembelinya terus berlarutan.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata skim itu diputuskan sebaik pengeluar kereta nasional terbesar dari segi jualan itu, mendapati ia berdaya maju dan menjadi kaedah terbaik menangani krisis. “Skim pajakan kenderaan sesuatu yang kami akan pertimbangkan jika ia berdaya maju. “PERODUA mengalu-alukan perbincangan dengan syarikat automotif lain jika mereka ada cadangan mengatasi masalah semasa yang menghimpit industri automotif tempatan,” katanya, baru-baru ini mengulas strategi kumpulan jika bank terus memperketatkan syarat pinjaman.
Pengguna kini hanya terbuka kepada satu cara untuk memiliki kenderaan iaitu menerusi sewa beli dengan bank. Namun dengan pajakan, pengguna tidak lagi perlu memohon pembiayaan bank. Mereka hanya membayar ansuran kepada syarikat yang memajakkan kenderaannya.
Ia juga membolehkan pengguna menukar kenderaan baru setiap beberapa tahun tanpa perlu risau kos penjagaan, pembaharuan cukai jalan dan susut nilai.
Kini, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON), anak syarikat DRB-Hicom Bhd satu-satunya syarikat automotif yang memperkenalkan skim pemajakan kenderaan dalam negara.
Di bawah panduan baru Bank Negara 1 Januari lalu, bank perlu mengambil kira pendapatan bersih iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai berjadual (PCB) serta semua tanggungan hutang ketika menilai kemampuan pemohon membayar pinjaman. Sebelum ini bank hanya mengambil kira jumlah pendapatan kasar.
Berikutan itu, jualan kenderaan PERODUA khususnya ViVa terjejas teruk berikutan model itu di bawah kategori mampu milik selain menepati kemahuan golongan pembeli kereta pertama.
Jualan juga menurun dengan drastik terutama di utara Semenanjung dan di pantai timur, termasuk Sabah dan Sarawak.
Aminar berkata, meskipun kumpulan menanggung bebanan teruk, khususnya peningkatan stok yang tidak terjual berikutan pembeli gagal menepati piawaian bank, PERODUA masih berharap dapat mengadakan perbincangan susulan dengan Bank Negara bersama wakil bank bagi menyelaras semula langkah baru itu.
“Syarat tambahan pinjaman berhemah berdasarkan panduan baru Bank Negara mungkin ditafsir secara berlainan oleh bank.
“Begitu juga dokumen bagi menyokong pinjaman yang berbeza antara bank. Ini melambatkan proses kelulusan pinjaman,” katanya sambil mendedahkan paras pembiayaan tidak berbayarnya (NPL) masih rendah iaitu sekitar satu peratus.
Beliau berkata, PERODUA juga pada peringkat perbincangan dalaman bagi melaksana strategi lain jika masalah penurunan penjualan berpanjangan.
No comments:
Post a Comment