Monday, March 12, 2012

Berita Harian Online | Pekan pusat automotif dunia

Berita Harian Online | Pekan pusat automotif dunia

Pekan pusat automotif dunia


Oleh Abdul Razak Raaff, Irwan Shafrizan Ismail dan Mahanum Abdul Aziz

bhnews@bharian.com.my

2012/03/12





NAJIB melihat dari dekat kereta Volkswagen Passat selepas melancarkan Volkswagen Passat Pemasangan Tempatan sambil Mohd Kamil Jamil (kiri) pada pelancaran di DRB Hicom Pekan, semalam.Kerajaan ambil pelbagai tindakan termasuk tarik nilai pelaburan besar



PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang mengambil pelbagai tindakan termasuk menarik nilai pelaburan besar untuk merealisasikan Pekan sebagai pusat automotif utama antarabangsa. Perdana Menteri berkata, ia dijangka mewujudkan 10,580 peluang pekerjaan dan akan menyumbang RM12 bilion kepada pendapatan negara kasar menjelang 2015. Beliau berkata, usaha transformasi itu membolehkan Pekan digelar hab automotif yang terkenal terutama bagi kerja pemasangan kereta, pembuatan dan komponen serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).



Malah, katanya, suntikan pelaburan RM1 bilion menerusi usaha sama DRB-HICOM Berhad dan Volkswagen bagi tempoh empat tahun adalah antara tindakan diambil kerajaan bagi tujuan itu.



“Projek usaha sama dimeterai Disember 2010 sebenarnya banyak memberi manfaat kepada kita seperti mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang pendapatan kepada warga tempatan.



“Jumlah pekerja DRB-HICOM yang ketika ini 2,300 akan bertambah 3,300 dan Pekan juga sedang dibangunkan menjadi sebahagian kelompok bandar pertumbuhan pembangunan merangkumi Kuantan, Gebeng dan Gambang sama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

”Kita boleh lihat transformasi ini secara berperingkat menerusi kemudahan prasarana rangkaian jalan raya lebih baik, perkhidmatan jalur lebar untuk teknologi maklumat, institusi pengajian tinggi, penjagaan kesihatan dan kemudahan lain yang semuanya untuk keselesaan rakyat,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kereta Volkswagen Passat pemasangan tempatan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, di sini, semalam.



Setakat ini, 300 unit Volkswagen Passat 1.8TDI pemasangan tempatan sudah dihasilkan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, yang mengikut standard kualiti yang ketat.



Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi DRB-HICOM, Syed Mohamad Syed Murtaza, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Ketua Perkilangan Luar Negara Kumpulan Volkswagen AG, Dr Christof Spathelf dan Ketua Operasi Komersial China/ASEAN Volkswagen, Wei Ming Soh.



Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, untuk industri automotif mengekalkan daya saing, mereka perlu melakukan penstrukturan semula bagi menghasilkan produk secara besar-besaran.



Sementara itu, ketika melancarkan program Vitamin 1Malaysia peringkat kebangsaan, penyampaian sumbangan program Yayasan Pembangunan 1Malaysia Berhad (Yayasan 1MDB) serta penyampaian ang pau Tahun Baru Cina, di Dataran Pekan, beliau berkata pelbagai sumbangan dan bantuan berterusan diberi kepada rakyat adalah hasil kemampuan kerajaan mengurus tadbir serta menjana keuntungan negara secara berhemat dan bijak.



Sebanyak 7,321 sekolah seluruh negara dengan 516,472 pelajar terbabit dalam program Vitamin 1Malaysia, bagi membantu meningkatkan tumbesaran dan taraf pemakanan, seterusnya kecemerlangan pencapaian akademik pelajar.

No comments: