Friday, August 31, 2012

Tuesday, April 17, 2012

Berita Harian Online | Preve bukti keunggulan PROTON

Berita Harian Online | Preve bukti keunggulan PROTON

Preve bukti keunggulan PROTON


Oleh Hassan Omar dan Ahmad Farizal Hajat

bhnews@bharian.com.my

2012/04/17





PROTON Preve ditawarkan pada harga RM59,990 hingga RM72,990 seunit.Sedan baru tepati kualiti dan piawaian keselamatan antarabangsa PROTON Preve, kereta global pertama keluaran PROTON Holdings Bhd (PROTON), akan menjadi model perintis untuk mengukuhkan kembali penguasaan pasaran pengeluar kereta nasional itu, baik di pasaran tempatan mahupun di luar negara. Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata model itu juga akan menjadi perintis kepada perubahan dalam penghasilan setiap model baru PROTON di masa depan. Produk PROTON memang sudah diterima di peringkat antarabangsa ketika ini. Namun begitu, kita tidak harus berpuas hati. Kita mesti bertindak lebih agresif lagi dalam mengembangkan aktiviti eksport ke luar negara dan menjadi lebih berteknologi maju, terus mampu menawarkan pelanggan kenderaan yang sewajarnya, mampu memperkukuh jualan dan khidmat selepas jualan di peringkat antarabangsa, dan mampu berkembang lebih kukuh sebagai jenama yang memiliki reputasi yang baik, yang dipercayai, diutamakan dan mampu menjadi pengeluar kereta yang kompetitif. - Mohd Khamil “PROTON Preve adalah bukti akan kemampuan PROTON setakat ini dalam usahanya bersaing pada pelbagai peringkat pasaran global.



“Dengan model ini, apa yang PROTON cuba nyatakan adalah model ini akan menjadi permulaan baru bagi kami, iaitu antara lain memperkenalkan arah baru reka bentuk produk dari segi kualiti dan keselamatan yang mampu bersaing di pelbagai pasaran dunia,” katanya pada majlis pelancaran model itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Seri Kembangan, semalam.
Hadir sama Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor: Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Pengerusi Eksekutif PROTON, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.
Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, pihaknya memperuntukkan 20 peratus daripada jumlah pengeluaran Preve untuk pasaran eksport.

“Selain pasaran domestik, Preve akan dieksport ke luar negara, dengan Indonesia sebagai destinasi pertamanya pada Julai atau Ogos ini, sebelum memasuki Thailand, Australia, United Kingdom dan Asia Barat,” katanya.

Syed Zainal berkata, Preve dijangka mampu dijual sekitar 4,000 hingga 4,200 unit sebulan dan kini sudah menerima lebih 1,000 unit tempahan sejak mula ditampilkan secara teaser pada Pameran PROTON Power of 1 di Bukit Jalil, bulan lalu.
Sementara itu, Najib berkata, keupayaan untuk mengeluarkan sebuah kereta yang global adalah suatu mercu tanda kejayaan yang amat penting kepada PROTON kerana untuk mencapai tahap piawaian dan standard antarabangsa terbabit, ketelitian dan fokus kepada aspek kualiti tidak boleh dipandang ringan.
“Semuanya harus berada pada tahap global standard. Saya sendiri sangat berbangga dengan keupayaan PROTON dan ini membuktikan bahawa kereta kita juga setaraf atau lebih baik dari kereta berjenama antarabangsa yang lain,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kereta berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata untuk memastikan PROTON dan semua syarikat automotif tempatan dapat bersaing dengan kereta terkemuka dunia, kerajaan menerusi Dasar Automotif Negara (DAN) sudah menggariskan pelbagai insentif bertujuan meningkatkan daya saing industri automotif tempatan bagi jangka panjang.
Katanya, ini termasuk penyediaan pelbagai insentif dan pakej geran dan dana automotif yang komprehensif serta pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan usaha sama strategik dengan rakan dagang utama negara.
“Kerajaan juga sedang mengkaji semula DAN yang akan merangkumi skop yang lebih luas dengan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk syarikat kereta, vendor, institusi kewangan dan pengguna.
“Pembentangan cadangan akhir ini, akan dibentangkan di mesyuarat Kabinet tidak lama lagi,” katanya.
Preve, yang kini boleh didapati di semua bilik pameran Proton Holdings di seluruh negara, ditawarkan dalam tiga varian, iaitu standard eksekutif transmisi manual, standard eksekutif transmisi automatik dan spesifikasi premium transmisi automatik.
Versi standard eksekutif transmisi manual menggunakan enjin 1.6 liter IAFM Continuous Variable Transmission (CVT) lima kelajuan, dan tujuh kelajuan untuk versi automatik, sementara versi spesifikasi premium pula menggunakan enjin 1.6 liter Caj Keberkesanan Minyak (CFE) turbo dengan CVT Protonic tujuh kelajuan.
Model baru itu ditawarkan pada harga RM59,990 seunit bagi versi standard eksekutif transmisi manual, RM62,990 bagi automatik standard eksekutif CVT, dan RM72,990 seunit bagi versi premium.
Semua varian berkenaan ditawarkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer, atau yang mana terdahulu.
Menurut Mohd Khamil berkata, Preve, model bercirikan teknologi paling canggih pertama yang ditawarkan kepada pasaran secara besar-besaran itu, akan membuka lembaran baru buat syarikat kereta nasional itu dalam memasarkan produknya yang menepati semua cita rasa pasaran.



“Produk PROTON memang sudah diterima di peringkat antarabangsa ketika ini. Namun begitu, kita tidak harus berpuas hati. Kita mesti bertindak lebih agresif lagi dalam mengembangkan aktiviti eksport ke luar negara dan menjadi lebih berteknologi maju, terus mampu menawarkan pelanggan kenderaan yang sewajarnya, mampu memperkukuh jualan dan khidmat selepas jualan di peringkat antarabangsa, dan mampu berkembang lebih kukuh sebagai jenama yang memiliki reputasi yang baik, yang dipercayai, diutamakan dan mampu menjadi pengeluar kereta yang kompetitif,” tegasnya.



Preve turut mendapat sentuhan anak syarikat milik penuh PROTON, iaitu Lotus Engineering, khususnya dari segi kawalan pemanduan dan pengendalian, yang mampu bertindak balas dengan baik di selekoh pada kelajuan tinggi.



SPESIFIKASI: Proton Preve

•Enjin 1.6 liter turbo ringan menghasilkan kuasa sama 2.0 liter enjin biasa
•138 kuasa kuda, kilasan 205Nm
•Sistem butang penghidup enjin untuk Premium
•Stering kuasa hidrolik
•Brek ABS dengan EBD
•Dwi beg udara SRS untuk semua varian dan beg udara sisi untuk Premium saja
•Dilengkapi dengan sambungan 4G WiFi dan sistem navigasi GPS
•Sistem audio dengan pemain CD MP3 dengan Bluetooth, USB dan sambung iPod
•Warna pilihan Blue lagoon, Fire red, Genetic silver, Solid white, Tranquility black, Elegant brown
•Kesemua varian didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km
•Tiga varian : Premium (harga dari RM72,990), Eksekutif CVT (harga dari RM62,990), Eksekutif (harga dari RM59,990)

Monday, April 2, 2012

Berita Harian Online | Google Malaysia perkenal tiga penambahan baru kepada Google Maps

Berita Harian Online | Google Malaysia perkenal tiga penambahan baru kepada Google Maps

2012/03/29






Google Malaysia memperkenalkan tiga ciri baru pada aplikasi Google Maps. Ia dilengkapi dua panduan trafik dan transit berdasarkan masa sebenar. Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar. - Foto BH OnlineKUALA LUMPUR: Google Malaysia hari ini memperkenalkan tiga penambahan utama kepada Google Maps, membolehkan pengguna di Malaysia merancang dengan lebih baik perjalanan mereka dan mencari maklumat tepat masa.



Penambahan itu adalah dua lapisan baru, Trafik dan Transit, serta antara muka Bahasa Malaysia.

Sajith Sivanandan, Pengurus Negara Google Malaysia, berkata dengan membuka lapisan Trafik di Maps, pengguna boleh melihat dengan segera sama ada jalan raya sesak atau bergerak lancar berdasarkan kepada kod warna. "Merah bagi jalan sesak, kuning bagi bergerak perlahan dan hijau bagi aliran lancar.



"Lapisan baru ini memudahkan pemandu untuk merancang laluan alternatif ke destinasi mereka," katanya di sini, hari ini.



Transit menyediakan maklumat mengenai perjalanan menerusi sistem pengangkutan awam Malaysia di Google Maps.



Ia juga menawarkan pilihan lebih baik bagi pengguna Malaysia yang mahu mengelakkan kesesakan trafik dan pergi ke bandar dengan menggunakan pengangkutan awam.

Sajith berkata, data bagi Trafik dan Transit diperolehi daripada pelbagai sumber, termasuk, jabatan pengangkutan kerajaan dan penyedia data swasta.

Sementara itu, Google Maps kini tersedia dalam Bahasa Malaysia (BM).



Versi Bahasa Malaysia Google Maps yang lama ditunggu-tunggu itu memberikan pilihan kepada pengguna untuk mengemudi dan berantara muka dengan Google Maps, menggunakan bahasa yang mereka paling selesa.



"Penambahan baru ini adalah sejajar dengan misi Google untuk mengatur maklumat dunia dan menjadikan ia berguna dan boleh diakses sejagat, di samping mengukuh, menambah baik dan menempatkan produk dan perkhidmatan," kata Sajith. - BERNAMA

Berita Harian Online | Cium telinga punca hilang pendengaran

Berita Harian Online | Cium telinga punca hilang pendengaran

Monday, March 26, 2012

Berita Harian Online | Fenomena Ekuinoks

Berita Harian Online | Fenomena Ekuinoks

Fenomena Ekuinoks


Oleh Rohaniza Idris



2012/03/25



Bayang lesap: Kejadian matahari atas kepala tanpa bayang landa Malaysia esok, cetus situasi pelik namun bukan dianggap fenomena astronomi



AWAL bulan lalu, fenomena dunia tanpa bayang dilaporkan berlaku di Bogor dan Jakarta, Indonesia. Dalam kejadian itu, tepat jam 12 tengah hari bagi tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang sendiri di bawah sinar matahari kerana ia berada tepat atas kepala.



Fenomena itu mendapat liputan kebanyakan akhbar di republik berkenaan dan beberapa negara Asia termasuk Malaysia. Banyak persoalan ditimbulkan hasil liputan berkenaan dan ramai yang ingin mengetahui mengenai fenomena yang jarang didengari itu.

RONA minggu ini mendapatkan penjelasan daripada Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) mengenai fenomena dunia tanpa bayang bagi merungkai kejadian itu dari pandangan astronomi. Ketua Unit Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, fenomena tanpa bayang sebenarnya berlaku setiap hari sepanjang tahun dan ia bukannya satu kejadian yang luar biasa atau pelik.



Mohd Zamri berkata, kejadian itu tidak dianggap sebagai fenomena astronomi, namun ia fenomena yang disukai dan sangat dekat dengan orang ramai.



“Fenomena hari tanpa bayang dianggap menarik apabila ia berlaku ketika matahari melintasi garisan khatulistiwa seperti yang berlaku di Bogor Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini. Selain itu, fenomena ini juga turut dianggap istimewa ketika matahari melintasi garisan Sartan di Hemisfera Utara dan garisan Jadi di Hemisfera Selatan bumi,” katanya.



Menjelas lanjut, Mohd Zamri berkata, kejadian itu adalah fenomena yang biasa berlaku iaitu sebanyak dua kali setiap tahun pada suatu garis lintang tertentu di antara garisan Sartan dan garisan Jadi. Ini kerana pada ketika itu, matahari berada tepat di atas garisan lintang berkenaan.

“Malaysia akan turut mengalami fenomena hari tanpa bayang tepat waktu tengahari di beberapa tempat mengikut kedudukan garisan-garisan lintang tertentu yang melintasi negara bermula esok hingga Khamis ini. Ia akan berulang berlaku semula pada 28 September hingga 2 Oktober depan,” katanya.



Mohd Zamri menjelaskan fenomena itu juga dikenali sebagai peristiwa Ekuinoks apabila Matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika ia bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara Bumi. Kejadian ini berlaku setiap Mac dan matahari juga akan melintasi Khatulistiwa dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan Bumi setiap September pula.



"Tiada yang istimewa pada hari berkenaan selain matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengahari. Ini menyebabkan kita tidak nampak bayang-bayang kita jika berdiri di tengah panas." katanya.



Fenomena berkenaan juga berlaku setiap hari tetapi di lokasi berbeza mengikut garis lintang kedudukan pergerakan matahari. Ini bermakna setiap negara yang berada di antara garisan Sartan dan Jadi, termasuk Khatulistiwa, akan merasai fenomena berkenaan.



Fenomena berkenaan juga berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu dua hingga lima minit serta tidak memberi kesan langsung kepada penduduk bumi seperti kejadian gerhana bulan dan matahari.



Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi dan ahli sains Isaac Newton berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah tarikan itu. Disebabkan ketika berlakunya gerhana matahari, bulan berada hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan paras air laut dan mungkin angin yang memberi kesan kepada cuaca.



Gerhana bulan dan matahari juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini. Contohnya, jika berlaku gerhana matahari di mana waktu siang tiba-tiba bertukar menjadi gelap seperti malam, mungkin haiwan seperti burung akan keliru dan menyebabkan ia terbang pulang ke sarang atau tidak berhaluan.



Berbeza dengan kedua-dua gerhana berkenaan, fenomena tanpa bayang hanya kejadian tiada bayang kelihatan pada tepat waktu tengahari di sesuatu tempat ketika matahari melintasi garisan lintang kawasan berkenaan. Selepas daripada tarikh itu, bayangan mereka akan kelihatan semula jika dilihat di atas tanah pada tepat waktu tengahari kerana kedudukan matahari yang semakin beralih ke garis lintang sama ada arah utara atau pun mungkin arah selatan.



Semua bandar di dunia yang berada di antara garisan lintang 23.5 darjah Utara (garisan Sartan) dan garisan lintang 23.5 darjah Selatan (garisan Jadi) akan mengalami keadaan itu dan dalam tempoh setahun, hemisfera selatan terlebih dulu mengalaminya seperti di Australia pada bulan Disember hingga Januari.



Sebelum ini, tempat popular yang menjadi tumpuan ialah bandar Pontianak, Kalimantan Barat, kerana kedudukannya betul-betul di garisan Khatulistiwa. Bandar itu akan mengalami fenomena itu dua kali setiap tahun iaitu pada setiap 21 Mac dan 23 September.



Fenomena sama yang berlaku di Makkah pada 28 Mei dan 15 Julai setiap tahun, dimanfaatkan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk membetulkan arah kiblat masing-masing berdasarkan kepada unjuran arah bayang matahari di kawasan setempat masing-masing pada waktu itu akan menghala Makkah.

Monday, March 12, 2012

Berita Harian Online | Pekan pusat automotif dunia

Berita Harian Online | Pekan pusat automotif dunia

Pekan pusat automotif dunia


Oleh Abdul Razak Raaff, Irwan Shafrizan Ismail dan Mahanum Abdul Aziz

bhnews@bharian.com.my

2012/03/12





NAJIB melihat dari dekat kereta Volkswagen Passat selepas melancarkan Volkswagen Passat Pemasangan Tempatan sambil Mohd Kamil Jamil (kiri) pada pelancaran di DRB Hicom Pekan, semalam.Kerajaan ambil pelbagai tindakan termasuk tarik nilai pelaburan besar



PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang mengambil pelbagai tindakan termasuk menarik nilai pelaburan besar untuk merealisasikan Pekan sebagai pusat automotif utama antarabangsa. Perdana Menteri berkata, ia dijangka mewujudkan 10,580 peluang pekerjaan dan akan menyumbang RM12 bilion kepada pendapatan negara kasar menjelang 2015. Beliau berkata, usaha transformasi itu membolehkan Pekan digelar hab automotif yang terkenal terutama bagi kerja pemasangan kereta, pembuatan dan komponen serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).



Malah, katanya, suntikan pelaburan RM1 bilion menerusi usaha sama DRB-HICOM Berhad dan Volkswagen bagi tempoh empat tahun adalah antara tindakan diambil kerajaan bagi tujuan itu.



“Projek usaha sama dimeterai Disember 2010 sebenarnya banyak memberi manfaat kepada kita seperti mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang pendapatan kepada warga tempatan.



“Jumlah pekerja DRB-HICOM yang ketika ini 2,300 akan bertambah 3,300 dan Pekan juga sedang dibangunkan menjadi sebahagian kelompok bandar pertumbuhan pembangunan merangkumi Kuantan, Gebeng dan Gambang sama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

”Kita boleh lihat transformasi ini secara berperingkat menerusi kemudahan prasarana rangkaian jalan raya lebih baik, perkhidmatan jalur lebar untuk teknologi maklumat, institusi pengajian tinggi, penjagaan kesihatan dan kemudahan lain yang semuanya untuk keselesaan rakyat,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kereta Volkswagen Passat pemasangan tempatan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, di sini, semalam.



Setakat ini, 300 unit Volkswagen Passat 1.8TDI pemasangan tempatan sudah dihasilkan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, yang mengikut standard kualiti yang ketat.



Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi DRB-HICOM, Syed Mohamad Syed Murtaza, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Ketua Perkilangan Luar Negara Kumpulan Volkswagen AG, Dr Christof Spathelf dan Ketua Operasi Komersial China/ASEAN Volkswagen, Wei Ming Soh.



Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, untuk industri automotif mengekalkan daya saing, mereka perlu melakukan penstrukturan semula bagi menghasilkan produk secara besar-besaran.



Sementara itu, ketika melancarkan program Vitamin 1Malaysia peringkat kebangsaan, penyampaian sumbangan program Yayasan Pembangunan 1Malaysia Berhad (Yayasan 1MDB) serta penyampaian ang pau Tahun Baru Cina, di Dataran Pekan, beliau berkata pelbagai sumbangan dan bantuan berterusan diberi kepada rakyat adalah hasil kemampuan kerajaan mengurus tadbir serta menjana keuntungan negara secara berhemat dan bijak.



Sebanyak 7,321 sekolah seluruh negara dengan 516,472 pelajar terbabit dalam program Vitamin 1Malaysia, bagi membantu meningkatkan tumbesaran dan taraf pemakanan, seterusnya kecemerlangan pencapaian akademik pelajar.

Berita Harian Online | Lolipop pendafluor dilarang

Berita Harian Online | Lolipop pendafluor dilarang

Lolipop pendafluor dilarang






2012/03/12





PEGAWAI CAP, NV Subbarow menunjukkan lolipop pendafluor yang ada bahan kimia berbahaya pada pemegangnya, baru-baru ini.Batang plastik gula-gula mengandungi bahan boleh sebabkan kanser



KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam. Beliau berkata, Kementerian sudah meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor. “Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6, iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 'Jom Sihat' di Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju di sini, semalam.



Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa kementerian berdasarkan alamat pada pembungkus gula-gula itu, didapati alamat yang digunakan palsu.



Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.



Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya dan menjadi kegilaan kanak-kanak.

Katanya, berdasarkan ujian oleh Institut Kebangsaan bagi Menguji Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Vietnam, batang plastik lolipop itu mengandungi bahan seperti ftalat dan Poly Aromatic Carbon (PAH).



“PAH adalah sejenis bahan kimia yang bertoksik dan hanya digunakan untuk tujuan industri seperti mencairkan cat. Ia boleh menyebabkan kanser atau mutasi gen dalam manusia,” katanya.



Dalam pada itu, Liow berkata gejala obesiti di kalangan penduduk Malaysia meningkat tiga kali ganda iaitu daripada 4.4 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada tahun lalu.



Sehubungan itu, penyakit kencing manis di kalangan penduduk negara ini juga menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus pada tahun lalu. – BERNAMA

Wednesday, March 7, 2012

document.title

document.title

Berita Harian Online | 19 paling aman di dunia

Berita Harian Online | 19 paling aman di dunia

19 paling aman di dunia
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2012/03/07


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat Bilik Kawalan CCTV Majlis Perbandaran Kulai di majlis Program Bandar Selamat Negeri Johor dan Lawatan Kerja Inisiatif NKRA di Kulaijaya, semalam.Penurunan indeks jenayah negara 11 peratus mampu tingkat keyakinan pelabur

KULAIJAYA: Penurunan indeks jenayah sebanyak 11 peratus yang direkodkan tahun lalu membolehkan Malaysia diiktiraf oleh Indeks Keamanan Global 2011 sebagai antara negara paling aman dan selamat di Asia Tenggara serta berada pada tempat ke-19 daripada 153 negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pencapaian itu adalah hasil tindakan proaktif polis dan agensi berkaitan menangani jenayah hingga berhasil mencatatkan penurunan melebihi sasaran lima peratus. “Pencapaian ini diiktiraf secara global apabila Indeks Keamanan Global 2011 meletakkan Malaysia di tangga 19 daripada 153 negara di dunia berbanding tempat 26 pada 2009. Hasilnya menyebabkan masyarakat antarabangsa semakin yakin melabur yang menyaksikan pelaburan asing meningkat sebanyak RM33 bilion tahun lalu, mengatasi RM29 bilion yang dicapai sebelum kekangan ekonomi dunia pada 2007,” katanya semalam.

Beliau berucap pada Perasmian Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012 dan Lawatan Kerja Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di perkarangan bangunan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), di sini. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

Muhyiddin juga berkata, tugas mengurangkan kadar jenayah tidak hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya rakyat memainkan peranan penting memelihara keselamatan awam dan individu supaya selamat daripada jenayah.

“Pembabitan masyarakat setempat adalah kritikal dalam memberi petunjuk dan penambahbaikan usaha menangani jenayah. Perkongsian pintar antara polis dan anggota awam melalui platform seperti RELA dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) adalah batu loncatan penting menjayakan usaha memerangi jenayah. Namun, dalam keghairahan mengurangkan kadar jenayah, Malaysia hendaklah menjadi negara yang sentiasa mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman bandar raya New York mengurangkan kes jenayah setiap 100,000 penduduk daripada 6,363 pada 1990 kepada 3,099 kes pada 2000 menunjukkan penambahbaikan drastik itu tidak mustahil dilakukan di Malaysia.

“Saya mahu petugas SRS dan ahli persatuan penduduk untuk turut sama terbabit dalam usaha memerangi jenayah demi menjaga kesejahteraan negara,” katanya.

Mengulas Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012, Timbalan Perdana Menteri berkata, 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menerima peruntukkan berjumlah RM26.1 juta untuk melaksanakan langkah impak tinggi menerusi Program Bandar Selamat.

Ia membabitkan pengasingan laluan pejalan kaki daripada laluan bermotor, pemasangan cermin keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), pencahayaan, penggera keselamatan dan pemetaan sistem maklumat geografi (GIS) jenayah.

Beliau berkata, pengurangan jenayah di Johor jauh lebih baik berbanding kadar pengurangan purata negara yang masing-masing sebanyak 7.7 dan 10.2 peratus bagi jenayah jalanan dan jenayah berat.

“Namun, kerajaan belum berpuas hati dan akan terus mempergiatkan langkah Program Bandar Selamat. Oleh itu, 108 CCTV, 965 lampu jalan serta 1,500 tempat letak motosikal berkunci sedang giat dirancang di sekitar bandar seluruh Johor tahun ini.

“Rekod prestasi negara maju menunjukkan pusat bandar akan membentuk nadi ekonomi berpendapatan tinggi. Oleh itu, persekitaran bandar selamat dan tenteram mampu menarik penduduk berkemahiran tinggi untuk merebut peluang pelaburan dan pekerjaan,” katanya

myMetro | Pupuk kemesraan ibu, bayi

myMetro | Pupuk kemesraan ibu, bayi

Pupuk kemesraan ibu, bayi
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my
APABILA ingin keluar rumah pasti pelbagai keperluan akan ‘diusung’ bersama terutama jika membawa bayi, sama ada menyediakan bekalan susu, lampin, baju dan paling penting ialah kereta sorong bagi memberi lebih keselesaan terutama jika berada lama di luar rumah.

Namun, adakah ia praktikal untuk dibawa terutama jika berada di tempat tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah ataupun kawasan karnival?




SELESA...Syazrina bersama anaknya, Adryn Johanna Khairold Safri, satu setengah bulan yang lena dalam gendongan menggunakan gelung silang.

BEG SILANG BAYI...bahaya jika digunakan untuk membawa bayi keluar beriadah.

SUKAR BERNAFAS...posisi bayi yang diletakkan dalam beg silang boleh menyebabkannya sukar bernafas.

PRAKTIKAL...Nordziah Bakri menggunakan gendong lelilit pada kedua-dua bahu untuk menggendong anaknya.
Sudahlah terpaksa bersesak-sesak dengan ribuan pengunjung, ibu atau bapa terpaksa pula menolak kereta sorong yang membawa bayi mereka. Bukankah ia memberikan satu perasaan tidak selesa?

Malah, penulis sendiri cukup tidak gemar membawa kereta sorong sekiranya berada di luar bersama anak kerana ia mengganggu kelancaran ‘aktiviti’ yang ingin dilakukan.



Sungguhpun terpaksa bersusah-payah, penulis sanggup mendukung ataupun menggunakan pembawa bayi walaupun untuk jangka masa lama kerana ia lebih praktikal daripada terpaksa berebut dengan orang ramai.


Menurut Pegawai Perhubungan Awam Malaysian Babywearers, Adriana Thani, kebanyakan ibu bapa yang menggunakan pembawa bayi biasanya bukan saja menyebabkan ketidakselesaan pada badan tetapi juga si anak itu sendiri.

Katanya, posisi badan mereka yang menggunakan pembawa bayi biasa juga berada dalam keadaan tidak baik iaitu badan akan membongkok ke hadapan bagi menampung berat bayi yang dibawa.

“Keadaan ini akan memberikan tekanan pada bahagian pinggang dan belakang ibu atau bapa dan jika menggunakannya untuk jangka masa lama, ia juga boleh memburukkan lagi keadaan.

“Begitu juga dengan bayi, pembawa bayi biasa tidak direka untuk memberikan sokongan terutama di bahagian pinggang dan pinggul bayi dan ini boleh memberi kesan apabila mereka belajar berjalan nanti,” katanya ditemui pada Expo Motherhood di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Di samping itu, penggunaan beg silang yang didakwa mampu memberikan lebih keselesaan kepada bayi serta memudahkan aktiviti harian juga turut mengundang bahaya yang lebih buruk kepada bayi.

Reka bentuk beg silang ini lebih kepada bentuk segitiga dengan bahagian bawah yang rata serta tinggi di bahagian tepinya.

Adriana berkata, bentuk sebegini akan menyebabkan muka bayi berada terlalu rapat dengan bahagian tepi beg berkenaan. Jika bergerak sedikitpun, bayi terbabit makin merapati bahagian tepi beg dan ini boleh menyebabkan bayi mengalami kekurangan oksigen dan lemas.

“Bentuknya yang terlalu labuh serta bahagian dalaman beg juga terlalu dalam hingga menyebabkan kedudukan bayi terperosok ke bawah.

“Ibu atau bapa pasti susah untuk melihat wajah bayi yang dibawa di dalam beg silang sebegini hinggakan sukar untuk memastikan mereka boleh bernafas dengan baik ataupun tidak disebabkan strukturnya yang lebih kepada bentuk beg biasa,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, apabila bayi diletakkan di dalamnya, posisi badannya akan berada dalam keadaan merengkok hinggakan dagu boleh menyentuh dadanya.

“Posisi sebegini amat berbahaya bagi bayi kerana boleh menyebabkan pernafasan bayi terganggu akibat terlalu menekan lehernya hinggakan bayi terpaksa berusaha bernafas dengan lebih kuat.

“Malah, jika ibu atau bapa memberi susu kepada bayi dalam keadaan ini juga boleh menyebabkannya tersedak tanpa disedari ibu bapa kerana keadaan kain tepi beg yang berlebihan menutupi mukanya,” katanya.

Disebabkan itulah, katanya, cara paling mudah untuk membawa bayi adalah dengan menggendongnya menggunakan kain yang diikat secara manual sama seperti yang biasa menjadi amalan golongan ibu di kawasan pedalaman.

Melalui kaedah menggendong bayi seperti ini ia dapat menguatkan kemesraan antara si pemakai dan bayi kerana bayi berada kedap dan rapat pada badan si ibu, malah ia juga membolehkan si ibu melakukan kerja rumah dengan lebih mudah tanpa perlu berasa risau anak menangis ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun kini, terdapat pelbagai kelengkapan mengendong yang ada dalam pasaran antaranya dompet gantung, gelung silang, mei tai, pembawa bertali lembut dan kain lelilit yang direka semula mengikut kesesuaian fesyen terkini.

Selain itu, Adriana berkata, penggunaan peralatan menggendong mempunyai banyak kelebihan antaranya dari sudut fisiologi iaitu bayi yang digendong ketika keluar rumah mampu tidur dengan lebih mudah serta kurang meragam.

Paling penting ialah mengetahui kaedah yang digunakan betul iaitu memastikan bayi berada dalam kedudukan terbaiknya iaitu punggungnya perlu terletak lebih rendah daripada lutut.

“Boleh dikatakan bayi berada dalam kedudukan ‘M’ dengan kakinya berada dalam keadaan terkangkang luas memeluk badan ibunya.

“Malah, kedudukan bayi yang digendong juga perlu berada tinggi iaitu pada aras dada dan dagu ibunya serta kain yang digunakan untuk melilit perlu ketat bagi memberikan sokongan kepada tulang belakang dan pinggul apabila dikendong,” katanya.

Ini diakui sendiri ibu kepada tiga anak, Faridah Halina Zairi, 34, apabila menggunakan kaedah menggendong jenis lelilit untuk anaknya, Khadeeja Azmin, lima bulan.

“Mungkin pada pandangan orang ramai cara sebegini agak menyusahkan kerana kain digunakan perlu dililit pada badan tetapi yang nyata bayi menyukainya kerana lebih selesa dan berada dekat dengan ibu.

“Posisi badan bayi juga berada dalam keadaan tidak terlalu melengkung seperti penggunaan pembawa bayi biasa kerana kain yang digunakan memberikan sokongan penuh di bahagian pinggul bayi,” katanya.

Faridah Halina berkata, tidak dinafikan isu utama yang menjadi persoalan adalah keselamatan bayi dan melalui kaedah ini, si ibu tidak perlu risau bayi akan terjatuh kerana ikatan kain yang digunakan kukuh mengikut saiz bayi.

Sementara itu, Syazrina Ismail, 31, pula berkata, dia menggunakan kaedah sebegini bertujuan memastikan anaknya berada dalam keadaan lebih tenang serta kurang menangis.

Katanya, kaedah menggendong begini amat mudah dan hanya menggunakan silangan kain pada satu bahu saja bergantung pada berat bayi.

“Penting untuk memastikan kedudukan anak berada dalam posisi betul bagi memastikan keselesaan serta kita tidak mengalami sebarang masalah ketika membawanya iaitu anak perlu berada dalam keadaan duduk sepenuhnya.

“Ini akan memastikan bayi anda selesa ketika membawanya terutama jika berada di kawasan sesak dan mereka akan tidur lena tanpa mengganggu sebarang aktiviti dilakukan,” katanya.

Pengasas perniagaan barangan kelengkapan bayi secara dalam talian JumpSacBaby.com ini berkata, anak pertamanya sebelum ini mengalami masalah kolik iaitu kerap menangis apabila dia tiada di sisi.

“Disebabkan itu, saya mencari sesuatu yang praktikal untuk digunakan dan mula menggunakannya ketika anak berusia tiga bulan dan boleh dikatakan ia agak lewat tetapi berjaya mengurangkan masalah itu sepenuhnya.

“Kini untuk anak kedua, saya menggunakannya sejak awal dan nyata dia tidak banyak ragam dan saya mampu melakukan banyak tugasan di rumah,” katanya

Tuesday, March 6, 2012

Berita Harian Online | Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai

Berita Harian Online | Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai

Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai


2012/03/06
Perbuatan buang merata-rata jejas kesucian: JAKIM

KUALA LUMPUR: Perbuatan mencetak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW pada kad jemputan kahwin boleh menjejaskan kesucian Islam jika kad itu dibuang merata-rata, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha. Beliau berkata, tindakan itu juga mungkin boleh dikategorikan sebagai menghina ayat al-Quran. “Istilah suci dalam Islam seperti Bismillah, Assalamualaikum dan sebagainya tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan disalah guna dan diletak di tempat yang tidak sewajarnya,” katanya.

Namun, Othman berkata pihak terbabit meletakkan ayat suci al-Quran dan hadis pada kad jemputan kahwin dipercayai berniat baik iaitu ingin memberi peringatan dan berdakwah kepada orang lain, bagaimanapun ia patut dielakkan.

“Jika bertujuan untuk memberi pengingatan hanya memadai dengan menulis maksudnya saja,” jelasnya.

Beliau juga berkata pihak yang menerima kad jemput kahwin yang tertulis ayat al-Quran sepatutnya lebih prihatin dan menjaga kesucian ayat itu dengan tidak membuang bahan yang mengandunginya di merata-rata tempat.
Katanya, mengikut Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dikeluarkan JAKIM, perbuatan membuang bahan yang mengandungi ayat al-Quran boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyentuh kesucian Islam.

Beliau berkata, pelupusan bahan penerbitan yang mengandungi ayat al-Quran sepatutnya dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, seorang pembuat kad perkahwinan, Mohd Natasha Md Nasir berkata, pihaknya sentiasa menasihatkan pelanggan yang ingin mencetak istilah suci termasuk Bismillah supaya tidak berbuat demikian.

“Kalau ada pelanggan yang hendak cetak Assalamualaikum dalam tulisan jawi pun kita tak galakkan, sebaliknya kita cadang supaya ditulis dalam tulisan rumi,” katanya.

Seorang lagi pembuat, Nor Azli Masrudin berkata, pihaknya sediakan format standard, tapi kalau pelanggan nak juga cetak kalimah-kalimah suci kita kena ikutlah,” katanya. – BERNAMA

Monday, March 5, 2012

Berita Harian Online | PERODUA pertimbang skim pajakan individu

Berita Harian Online | PERODUA pertimbang skim pajakan individu

PERODUA pertimbang skim pajakan individu
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2012/03/05
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan mempertimbangkan cadangan skim pajakan kereta keluarannya kepada pengguna individu, jika kemerosotan jualan susulan penilaian lebih ketat oleh bank terhadap bakal pembelinya terus berlarutan.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata skim itu diputuskan sebaik pengeluar kereta nasional terbesar dari segi jualan itu, mendapati ia berdaya maju dan menjadi kaedah terbaik menangani krisis. “Skim pajakan kenderaan sesuatu yang kami akan pertimbangkan jika ia berdaya maju. “PERODUA mengalu-alukan perbincangan dengan syarikat automotif lain jika mereka ada cadangan mengatasi masalah semasa yang menghimpit industri automotif tempatan,” katanya, baru-baru ini mengulas strategi kumpulan jika bank terus memperketatkan syarat pinjaman.

Pengguna kini hanya terbuka kepada satu cara untuk memiliki kenderaan iaitu menerusi sewa beli dengan bank. Namun dengan pajakan, pengguna tidak lagi perlu memohon pembiayaan bank. Mereka hanya membayar ansuran kepada syarikat yang memajakkan kenderaannya.

Ia juga membolehkan pengguna menukar kenderaan baru setiap beberapa tahun tanpa perlu risau kos penjagaan, pembaharuan cukai jalan dan susut nilai.

Kini, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON), anak syarikat DRB-Hicom Bhd satu-satunya syarikat automotif yang memperkenalkan skim pemajakan kenderaan dalam negara.
Di bawah panduan baru Bank Negara 1 Januari lalu, bank perlu mengambil kira pendapatan bersih iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai berjadual (PCB) serta semua tanggungan hutang ketika menilai kemampuan pemohon membayar pinjaman. Sebelum ini bank hanya mengambil kira jumlah pendapatan kasar.

Berikutan itu, jualan kenderaan PERODUA khususnya ViVa terjejas teruk berikutan model itu di bawah kategori mampu milik selain menepati kemahuan golongan pembeli kereta pertama.

Jualan juga menurun dengan drastik terutama di utara Semenanjung dan di pantai timur, termasuk Sabah dan Sarawak.

Aminar berkata, meskipun kumpulan menanggung bebanan teruk, khususnya peningkatan stok yang tidak terjual berikutan pembeli gagal menepati piawaian bank, PERODUA masih berharap dapat mengadakan perbincangan susulan dengan Bank Negara bersama wakil bank bagi menyelaras semula langkah baru itu.

“Syarat tambahan pinjaman berhemah berdasarkan panduan baru Bank Negara mungkin ditafsir secara berlainan oleh bank.

“Begitu juga dokumen bagi menyokong pinjaman yang berbeza antara bank. Ini melambatkan proses kelulusan pinjaman,” katanya sambil mendedahkan paras pembiayaan tidak berbayarnya (NPL) masih rendah iaitu sekitar satu peratus.
Beliau berkata, PERODUA juga pada peringkat perbincangan dalaman bagi melaksana strategi lain jika masalah penurunan penjualan berpanjangan.

Monday, February 27, 2012

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

ARKIB : 19/02/2012
15Ancaman Rotavirus

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

ROTAVIRUS telah dikenal pasti sebagai punca utama masalah cirit birit. Sebanyak 600,000 kematian akibat Rotavirus dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.

Merujuk kepada data Kementerian Kesihatan antara 1999 hingga 2000, dianggarkan satu daripada 37 kanak-kanak berusia bawah lima tahun dirawat sebagai pesakit luar akibat Rotavirus. Manakala satu daripada 67 ditahan dalam wad sementara satu daripada 15,000 berdepan dengan kematian.

Dalam pada itu , sebanyak 3,444 kes direkodkan oleh Jabatan Kesihatan Perak setakat 16 Februari lalu melibatkan wabak acute gastroenteritis (AGE) berpunca daripada Rotavirus.

Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Ketua Unit Gastroenterologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Datuk Dr, Ahmad Shukri Md Salleh, Rotavirus adalah virus yang berjangkit melalui makanan, minuman dan hasil kumuh.

"Apabila kanak-kanak mendekati barang-barang yang telah dicemari dengan kotoran yang mengandungi Rotavirus , kanak-kanak tersebut berpotensi untuk dijangkiti.

Keadaan menjadi lebih berbahaya kerana Rotavirus mampu bertahan sehingga beberapa hari di satu tempat sebelum menjangkiti mangsanya.

Kanak-kanak yang berada dalam lingkungan umur enam bulan hingga 24 bulan dilihat sebagai golongan yang paling mudah terdedah kepada jangkitan Rotavirus," ujarnya.

Tambah Dr. Ahmad Shukri, ciri-ciri pesakit yang dijangkiti oleh Rotavirus adalah cirit-birit, muntah dan demam.

Dalam konteks ini, orang ramai sering terkeliru antara Rotavirus dengan demam atau cirit biasa.

Dr. Ahmad Shukri menjelaskan, sindrom jangkitan Rotavirus boleh bertahan lebih lama.

Sindrom ini boleh berkekalan sehingga sembilan hari, malahan sindrom cirit-birit yang dialami boleh berterusan sehingga tiga minggu lamanya.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kanak-kanak mungkin mengalami cirit-birit sehingga 20 kali sehari.

" Rotavirus justeru boleh membawa kepada masalah kekurangan air dalam badan yang boleh membawa maut kepada kanak-kanak terbabit. Mereka yang dijangkiti akan menjadi lesu, kulit sejuk dan kering, tiada air mata ketika menangis, mulut yang kering, mata menjadi cengkung dan rasa haus yang melampau," katanya.

Pencegahan

Dr. Ahmad Shukri memberitahu, sehingga kini belum ada ubat dan rawatan spesifik untuk mencegah penyakit ini.

"Pada tahun 2006, vaksin untuk Rotavirus telah dihasilkan. Vaksin ini berupaya merangsang badan kanak-kanak untuk meniru tindak balas imunisasi kepada jangkitan Rotavirus . Keadaan ini membolehkan badan kanak-kanak menghasilkan imunisasi terhadap jangkitan Rotavirus yang sebenar pada masa depan.

Proses ini akan meringankan sindrom-sindrom yang akan menimpa kanak-kanak hasil jangkitan Rotavirus berkenaan mengurangkan kadar masuk ke wad di kalangan pesakit Rotavirus sehingga 96 peratus. Tiga dos vaksin berbentuk oral harus diberi kepada kanak-kanak berumur dua, empat dan enam bulan," katanya.

Meskipun vaksin merangsangkan pelalian atau keimunan dari kecil supaya serangan pertama Rotavirus hanya menyebabkan jangkitan ringan atau tanpa gejala, mintalah maklumat lanjut daripada doktor anak anda sekiranya anak anda mengalami simptom yang serius.

"Bagi menangani jangkitan Rotavirus, tiada rawatan antiviral spesifik digunakan. Rawatan dengan oral rehidrasi adalah penyelesaian biasa yang sering digunakan bagi menggantikan kekurangan air dalam badan. Dalam sesetengah kes muntah yang teruk, rehidrasi dengan cecair melalui laluan intravena diperlukan," katanya.

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

ARKIB : 26/02/2012
6Elak gejala tersedak susu

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SEJAK akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu.

Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini.

Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.

"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.

Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen.

Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian.

Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea.

"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya.

Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis.

Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.

Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau.

Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux.

Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea.

Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.

"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.

Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan.

"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

Tuesday, February 21, 2012

myMetro | Miliki 75,000 pengunjung sebulan

myMetro | Miliki 75,000 pengunjung sebulan

Miliki 75,000 pengunjung sebulan
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my
BANGGA...Chee Ching (tengah) pada Majlis Anugerah Blog Asia Pasifik anjuran Nuffnang, baru-baru ini. MEMILIKI hobi sama tetapi topik berbeza. Wadah yang mempunyai cara penyampaian menarik dan kreatif untuk tatapan pembaca membuatkan nama empat wanita ini disenaraikan dalam calon penerima Anugerah Blog Asia Pasifik anjuran Nuffnang, baru-baru ini.

Biarpun tidak memenangi sebarang anugerah, tetapi mereka mempunyai peminat tersendiri menerusi laman blog yang ditubuhkan dan menjadi popular dalam kalangan pembaca maya walaupun bukan daripada golongan artis terkenal.


Chee Ching, Joyce Wong Jing Yen, Suanie Tew dan Intan Suhana Juhari, semuanya mempunyai idea kreatif dan pelbagai cerita menarik menerusi pengalaman yang ditimba untuk dikongsi bersama pembaca serta peminat menerusi laman blog masing-masing.

Penulis blog termuda di kalangan mereka, Chee Ching yang berusia 23 tahun mempunyai alasan untuk berkongsi segala pengalaman dengan peminatnya.



Diari maya itu yang ditubuhkan sejak 2005 cuba dihidupkan dengan kehadiran karakter kartun bagi mewakili dirinya untuk berkongsi kisah sepanjang hari yang berlaku dalam hidupnya.


Kerjayanya sebagai pereka dalam industri pengiklanan dan banyak melayari Internet secara tidak langsung mencetuskan idea kepada Chee Ching untuk memiliki diari di alam siber.

Mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam terhadap perkara baru akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya membuka laman blog sendiri yang mendapat perhatian daripada pembaca.

“Saya menjadikannya sebagai medium untuk menulis mengenai perasaan yang tersirat dalam hati ketika itu memandangkan ia sebenarnya agak mudah untuk dikawal selia.

“Setakat ini saya mempunyai pengikut atau peminat seramai 300 hingga 400 orang dan sangat bersyukur kerana memiliki pembaca sendiri.

“Bermula dengan hobi yang kini turut dijadikan sebagai portfolio diri, kombinasi yang disatukan antara hobi dan minat berjaya dilakukan pada masa sama,” kata gadis berasal dari Ipoh yang gemar menonton drama serta rancangan animasi.

Tambah Chee Ching lagi, membuka laman blog tidak hanya bersandar pada minat dan hobi saja malah dia menjadikannya sebagai tempat melatih diri untuk memantapkan kemahiran dimiliki.

Selain berkongsi minat dan hasil kerjanya, Chee Ching turut muat naik lagu-lagu Korea serta perkara yang menarik dalam hidupnya seperti melukis yang sering dilakukannya.

Menerusi blog, gadis muda ini turut memulakan projek yang dipanggil 365 Art, idea tercetus berdasarkan misi untuk menjadikan dokumen yang dikumpul seterusnya dilakar menjadi seni kreatif.

Dia bercadang untuk mengabadikan ciptaannya itu dalam bentuk buku atau kalendar apabila projeknya itu siap sepenuhnya kelak.

Chee Ching berkata dia sangat menghargai setiap komen daripada peminatnya kerana menganggap ia mempunyai makna yang positif dalam memantapkan laman blognya - http://cheechingy.com.

Sementara itu, menurut pemilik laman blog www.KinkyBlueFairy.net, Joyce Wong Jing Yen, dia menceburkan diri dalam dunia penulisan di alam maya pada 2004.

Menurutnya lagi, sejak berusia 10 tahun lagi dia sudah memiliki diari dan menganggap menulis di blog sebagai platform baru untuk meneruskan hobinya itu.

Hobi yang mendalam ditambah gemar mengedit gambar dan penulisan pada masa lapang membuatkan Jing Yen meneruskan minat untuk menulis apatah lagi jika membabitkan aktiviti yang dijalankan.

Berusia 28 tahun, Jing Yen menjelaskan konsep laman blog miliknya itu lebih menekankan gaya hidup kerana ia ditulis berdasarkan aktiviti yang dilakukan oleh gadis bandar dan bagaimana mereka menghabiskan duit.

“Ini kerana saya banyak merasai kehidupan sebenar sebagai manusia yang bergerak aktif melakukan pelbagai aktiviti. Kerja, melancong, terbabit dalam produksi filem, menguruskan majlis dan parti - semuanya sudah saya lalui.

“Saya rasa sungguh bertuah kerana dapat merasai kesemua pengalaman ini membuatkan saya cuba mencari medium terbaik untuk menyimpan kenangan itu dan pada masa sama dapat berkongsi dengan orang lain.

“Saya tidak sangka ramai yang gemar membaca penulisan mengenai pengalaman peribadi saya. Pengunjung laman web saya mencecah sehingga 75,000 setiap bulan dengan 25,000 peminat.

“Semua ini saya lakukan sebagai hobi dan mungkin satu hari nanti akan menjadi pekerjaan sepenuh masa saya. Ini kerana saya pernah menjadikannya sebagai kerja sepenuh masa selama dua tahun sebelum mencari alternatif lain mempelajari kemahiran berbeza disebabkan mudah jemu dengan perkara sama.

“Di samping itu, sesiapa saja boleh memberikan idea atau menceritakan kisah mereka di blog saya yang banyak menulis kenangan ketika melancong, muzik, fesyen, parti dan makan,” katanya yang menulis untuk keseronokan bukan menjana pendapatan.

Tambah Jing Yen, dia pernah dijadikan sumber inspirasi peminatnya apabila menerima emel yang menyatakan kisahnya banyak membantu memperbaiki kehidupan mereka supaya menjadi lebih sempurna, baik dan ceria.

Tidak memikirkan dirinya berbeza dengan orang lain, namun dia menganggap kata-kata pujian yang diberikan sebagai satu penghargaan buat dirinya.

Suanie Tew yang berasal dari Batu Pahat, Johor pula mempunyai kisah tersendiri untuk dikongsi bersama pembaca hasil tulisannya.

Bekerja sebagai penulis iklan, Tew mula menceburkan diri dalam dunia penulisan di Internet sejak 1999 yang ketika itu memiliki laman web yang dikemas kini sama seperti laman blog dan pada 2000 ia bertukar format seperti sekarang.

Dia belajar cara menghasilkan laman blog kreatif dan mengikut keinginannya daripada rakan yang mahir dalam bidang berkenaan.

Hobi yang diminatinya itu diteruskan sehingga kini. Disebabkan penulisannya yang bersifat tidak formal, Tew berasa tekanannya seolah-olah terbang apabila dapat berkongsi pengalamannya bersama pembaca.

“Memulakan penulisan blog sebagai hobi dan penting untuk saya mengekalkan matlamatnya. Namun, selepas menyertai Nuffnang, ia sedikit sebanyak memberikan sedikit duit poket pada diri.

“Laman blog yang saya buka lebih banyak bersifat individualistik. Melalui www.suanie.net, saya mendapat banyak manfaat seperti menjadi sebahagian ahli kumpulan amal tempatan, Twestival.

“Saya tidak mempunyai banyak masa untuk mengemaskini laman blog kerana banyak masa dihabiskan bersama keluarga dan rakan-rakan.

“Namun apabila menerima tindak balas positif daripada pembaca yang gembira membaca kisah saya, timbul pula keinginan untuk menulis dengan lebih serius lagi,” katanya yang turut mempunyai laman web khas untuk penyanyi terkenal, Micheal Jackson kerana meminatinya.

Berbeza pemilik nama panggilan Sue Anna Joe yang tampak manis bertudung ini, pengalamannya dalam dunia fotografi dikongsi bersama pembacanya lantaran terlalu meminati bidang membabitkan lensa kamera.

Pernah membuka studio sendiri di Kelana Jaya namun ia terpaksa ditutup kerana perlu memberikan lebih fokus terhadap pembelajaran dan keluarga ketika itu.

Berusia 29 tahun, wanita manis dengan nama sebenar, Intan Suhana Juhari ini berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Dia mula menulis jurnal dalam Bahasa Inggeris menerusi laman komuniti seni digelar DeviantART.

Selepas itu, dia mengorak langkah sendiri dengan menggunakan platform penulisan blog apabila mendapat inspirasi ketika bekerja di KL Motion Picture.

“Ketika itu saya banyak menulis skrip. Tertarik dengan penulisan dan olahan ceritanya, saya cuba untuk mula menulis blog dalam Bahasa Malaysia pula.

“Kemudian, blog saya mula berkembang dan menambahkan laman blog lain yang berkaitan dengan minat dalam dunia fotografi.

“Saya belajar sendiri cara membuat laman blog dan berjaya membukanya pada 2003.
Namun saya hanya mula pada 2006 untuk berkongsi pengalaman ketika mengambil gambar, panduan dan hasilnya.

“Banyak yang boleh diceritakan melalui fotografi. Kadang kala perkara yang sukar diceritakan dengan perkataan boleh disampaikan dengan mudah melalui gambar,” katanya yang mempunyai minat mendalam dalam dunia fotografi.

Tambahnya lagi, laman blog miliknya banyak memaparkan aspek peribadi dan unik kerana kebiasaannya cara penyampaian serta gambar yang dikongsi bermain dengan emosi.

Unik dengan panggilan Sue Anna Joe, penulisan blog yang dilakukan diterjemahkan sebagai hobi sepenuh masa dan digabung bersama minatnya pada fotografi.

Jika pada mulanya, dia membuka laman blog, sueannajoe.blogspot.com hanya sekadar hobi semata-mata tetapi kini menjadi tempat menjana pendapatan.

Selain itu, Sue Anna Joe turut berkongsi cerita mengenai fesyen, kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu, pengalamannya, tempat-tempat yang menarik untuk dikunjungi, lokasi menjamu selera, ulasan filem serta produk di laman blog khasnya yang lain

Monday, February 20, 2012

myMetro | Kembalikan bentuk badan

myMetro | Kembalikan bentuk badan

Kembalikan bentuk badan
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my SELEPAS melahirkan anak, kebanyakan wanita berasa bimbang apabila melihat bentuk tubuh mereka yang semakin me�ngembang dan menunjukkan tanda-tanda berat badan meningkat.

Biasanya, bahagian yang paling ketara berlaku perubahan adalah di lengan, punggung, perut dan payudara. Tidak ha�nya bentuk lebih besar malah kehadiran tanda regangan pada kulit perut ketika hamil, dikenali sebagai striae iaitu parut yang terbentuk akibat lapisan dermis yang terkoyak juga begitu membimbangkan.


Penting bagi ibu yang baru bersalin untuk mengetahui senaman sesuai bagi mengembalikan bentuk badan yang diinginkan seperti sebelum mengandung dan pada masa sama dapat menjaga bayi dengan sempurna.

Jadi, sebaiknya selepas melahirkan anak tidak kira secara normal mahupun pembedahan harus mengambil tindakan segera dengan membuat senaman yang betul agar bentuk badan diinginkan berjaya diperoleh.



Menurut Pakar Runding Laktasi dan Bidan Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Elizabeth Muthu, selepas bersalin wanita seharusnya melakukan senaman bagi mengembalikan bentuk badan dan menghasilkan kualiti susu yang baik untuk bayi.


“Selepas selesai menguruskan segala urusan bayi anda yang biasanya mengambil masa selama seminggu, sehari sekali perlukan sedikit masa untuk melakukan senaman.

“Senaman dilakukan bagi mengurangkan masalah berat dan bentuk badan yang semakin mengembang selepas bersalin. Seeloknya, senaman dibuat bersama-sama dengan anak.

“Ini bagi memastikan perhatian terhadap anak dapat dilakukan setiap masa walaupun ketika sibuk melakukan senaman di samping dapat menyusukan bayi ketika menangis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Tambah Elizabeth, biarpun senaman penting, harus diingat ia tidak boleh dilakukan secara berlebihan. Ini kerana jika berlebihan ia menghasilkan lebih banyak asid yang tidak diperlukan terutamanya bagi ibu yang menyusukan bayi.

Bukan itu saja, senaman yang dilakukan secara berlebihan menyebabkan badan letih dan tiada tenaga mengakibatkan tumpuan terhadap anak berkurangan.

Tidak hanya menitik beratkan senaman, malah ibu yang baru melahirkan bayi juga harus menjaga diet harian dan mengambil makanan berkhasiat bagi membantu proses mengembalikan bentuk badan seperti diinginkan.

“Senaman yang dilakukan dapat dilihat kesannya jika diikuti dengan mengambil makanan seimbang dan lengkap bagi memberi kesihatan kepada tubuh badan.

“Pemakanan yang seimbang bukan hanya untuk mendapat�kan bentuk badan ideal malah penting bagi menghasilkan susu berkualiti.

“Seeloknya, ambil makanan yang berasaskan protein dan kurang karbohidrat. Ini kerana, jika gemar mengambil makanan yang banyak karbohidrat akan membuatkan anda mudah lapar kerana biasanya ia lebih cepat dibakar.

“Tingkatkan makanan berasaskan protein dan serat bagi menghasilkan kualiti susu yang lebih baik di samping membantu mengurangkan berat badan.

“Harus diingat jangan amalkan pengambilan makanan segera kerana tidak baik untuk badan dan penghasilan susu,” katanya yang menasihati agar mengamalkan diet seimbang kerana senaman hanya untuk menegangkan otot atau bahagian yang kendur.

Tambahnya, ibu yang baru melahirkan anak sebaiknya amalkan mengambil makanan enam kali sehari. Misalnya, di awal pagi dengan roti bersama keju. Kemudian, pada jam 10 pagi, ambil makanan berasaskan kekacang.

“Tengah hari pula amalkan mengambil nasi daripada beras perang berbanding nasi putih kerana ia mempunyai nutrien tinggi dan campurkan dengan sup atau sayur-sayuran.

“Jika mahu menikmati nasi putih, apa kata campurkan ia dengan beras perang bagi menambah nutrien yang diperlukan oleh badan.

“Pada waktu minum petang pula, anda boleh minum teh tanpa gula dan makan malam dengan sup,” jelas Elizabeth yang menasihati wanita agar mengambil makan malam empat jam sebelum waktu tidur.

Tambahnya, senaman yang konsisten dan menjaga diet secara seimbang harus dilakukan dengan mempunyai objektif agar misi yang dilakukan berjaya.

Bagi ibu yang baru melahirkan anak, ikuti langkah mudah ditunjukkan Elizabeth yang boleh dilakukan di rumah bersama bayi anda, sekali atau dua kali setiap hari dalam tempoh 10 hingga 15 minit

Wednesday, January 25, 2012

Strategi Langsing Selepas Melahirkan - Famili - Pa Ma

Strategi Langsing Selepas Melahirkan - Famili - Pa MaSelepas bersalin semua ibu mahukan bentuk badan yang langsing dalam tempoh yang pantas. Biasanya kebanyakan wanita mengalami kesukaran untuk mencapainya.

Mengembalikan berat badan asal selepas bersalin bukan tugas yang mudah. Tetapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil. Kesukaran para ibu menghilangkan berat badan yang meningkat semasa hamil bukan masalah luar biasa.

Ibu perlu tahu kaedah berkesan membantu kembali bertenaga, cergas dan menawan sepanjang melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu. Panduan berikut mungkin memberi makna kepada semua wanita yang baharu bersalin.

Pemulihan Selepas Bersalin
Sembilan bulan sepanjang hamil, badan anda mengalami banyak perubahan dan pastinya emosi anda sendiri umpama rollercoaster sepanjang tempoh itu.

Cabaran dan keseronokan bergelar ibu baharu turut terganggu dengan persoalan yang bermain di minda ‘bagaimana saya boleh dapatkan semula badan sebelum hamil'? Sebenarnya badan kita pulih dalam banyak aspek kehamilan secara semulajadi; rahim mengecut kepada bentuk asal dalam masa enam minggu selepas bersalin dan keanjalan ligamen badan kembali perlahan-lahan kepada bentuk asal (sekitar 3 ke 6 bulan).

Malangnya, tisu-tisu otot tidak berfungsi dengan cara yang sama. Oleh itu pentingnya kita melakukan senaman sebagai rutin harian dalam usaha untuk mengembalikan otot-otot kepada keupayaan fungsi, kekuatan dan kepanjangan normalnya.

Rajin atau malas bukan persoalan kerana ibu perlu lakukan senaman yang rutin untuk mengelakkan otot-otot daripada mengecut dan menjadi lemah.

Selain daripada itu, rawatan pelangsingan di spa turut membantu ibu mendapatkan semula badan yang langsing dan pejal. Pakej rawatan pelangsingan di spa membantu ibu untuk mengawal penghasilan selulit dan memecahkan sel lemak yang banyak semasa mengandung. Bahkan ia turut membantu para ibu mengurangkan kesan rekahan serta kembali ke bentuk badan asal lebih cepat.

Rawatan Pelangsingan Badan
Sebelum memilih rawatan pelangsingan badan di spa, anda perlu tahu apakah jenis rawatan yang sesuai untuk ibu selepas bersalin. Jangan terpedaya dengan tawaran melangsingkan badan yang mungkin tidak sesuai dan berbahaya kepada anda.

Antara rawatan yang disarankan kepada wanita yang baharu melahirkan anak termasuk :

Skrub badan
Rawatan ini memang boleh dilakukan selepas bersalin dan amat digalakkan. Ia bertujuan untuk membuka pori-pori kulit jadi sel-sel kulit mati boleh ditanggalkan.

Jakuzi
Rawatan yang memberikan getaran kepada tubuh ibu membolehkan sel-sel lemak bergetar dan hancur sedikit demi sedikit. Ia boleh membuang toksik yang ada di dalam badan supaya senang dipecahkan.

Hot Blanket/Sauna
Ia bertujuan untuk proses detoksifikasi kerana ada wanita yang menjadi gemuk semasa hamil kerana terlalu banyak air (water retention). Jadi selepas proses ini air yang berlebihan akan hilang dan seterusnya ukuran inci badan akan berkurangan.

Urutan Pelangsingan
Setiap teknik urutan pelangsingan membolehkan sel-sel lemak di dalam badan diuraikan. Urutan yang berkesan akan menyebabkan ibu berasa gatal-gatal di bahagian yang diurut. Ia perkara normal kerana menunjukkan proses pemecahan lemak sedang berlaku.

G5 Rawatan Pelangsingan
Penggunaan mesin pelangsingan tidak berbahaya kepada ibu-ibu baharu melahirkan anak. Ia melibatkan teknik getaran yang bertujuan memecahkan lemak di dalam badan lebih pantas iaitu sepantas apabila melakukan 100 kali senaman sit-up dan 100 kali push-up.

*Tetapi perlu diingat rawatan menggunakan teknik ini hanya boleh dilakukan selepas 3 bulan bagi ibu melahirkan bayi secara normal dan 6 bulan yang melahirkan secara pembedahan caesarean.

Pengambilan Minuman
Bukan sebarang minuman herba boleh diambil oleh ibu kerana bimbang minuman teh herba tertentu boleh memberi kesan kepada susu badan yang diminum bayi. Justeru, minuman yang dibenarkan berasaskan halia dan limau nipis yang membantu membuang angin di dalam badan.

Namun, sebelum memilih mengikut program pelangsingan badan di spa, ada beberapa perkara mesti diambil kira :
Bagi para ibu yang masih menyusukan bayi secara eksklusif, pastikan bahawa produk pelangsingan yang digunakan adalah bebas daripada bahan kimia, pewarna tiruan dan bahan awet yang berbahaya dan memudaratkan.

Ibu yang bersalin secara normal, boleh memulakan program-program pelangsingan seawal 3 bulan selepas bersalin.

Ibu yang melahirkan anak secara pembedahan caesarean, hanya boleh memulakan program-program pelangsingan selepas 6 bulan kelahiran. Bagi para ibu yang masih menyusukan bayi, elakkan daripada mengambil ubat-ubatan pelangsingan yang berkaitan dengan proses detoksifikasi kerana ia akan menyebabkan bayi anda mengalami cirit-birit sehingga boleh menyebabkan dehidrasi.

Senaman Juga Penting
Senaman turut membantu anda mendapatkan kembali bentuk badan menarik namun mengambil jangka masa yang lama untuk melihat kesannya.

Beri masa kepada diri sendiri untuk mencapai berat badan ideal dalam tempoh enam hingga 12 bulan mengikut program senaman yang konsisten.

Senaman membantu proses penyembuhan dan pemulihan yang pantas selepas melahirkan bayi, peningkatan metabolisme dan pantas kembali ke bentuk badan sebelum hamil dan tahap kecergasan.

Ia turut mengurangkan tahap tekanan dan kemungkinan besar pembentukan tekanan selepas bersalin. Ibu juga lebih bertenaga untuk menjalankan peranan sebagai ibu.

Justeru, untuk berjaya mencapai bentuk dan berat badan sasaran, ibu perlu konsisten melakukan senaman tetapi ingat jangan paksa diri. Paling penting anda seronok melakukannya.

Antara senaman sesuai untuk selepas bersalin adalah :-
♦ Berenang dan Aqua aerobics
♦ Brisk walking
♦ Berbasikal
♦ Aerobik berkadar rendah

Tuesday, January 24, 2012

Berita Harian Online | Titik tengah Semenanjung

Berita Harian Online | Titik tengah SemenanjungPERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang.

Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung. Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar. Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini.

Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.

Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.

Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan.
Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.

“Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini.

Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.

Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.

"Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.

Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi.

Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.

Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.

Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur.

Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan.

Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong.

Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar.

"Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya.

Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu.

"Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri.

"Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka.

"Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya.

Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu.

"Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik.

"Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya.

Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap.


Penduduk tempatan nanti limpahan

PENDUDUK Kampung Paya Siput, Lanchang, yakin pengiktirafan kawasan perkampungan itu sebagai titik tengah Semenanjung sudah tentu memberi makna yang mendalam kepada mereka.

Walaupun ia tidak merubah wajah kampung itu dalam sekelip mata, mereka percaya kawasan itu akan lebih dikenali dan menjadi sebutan kerana kedudukannya yang begitu unik berbanding tempat lain di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang, Zainal Abidin Mat Taha berkata, Kampung Paya Siput adalah antara tiga kampung yang terletak di bawah pentadbiran JKKK Kampung Rantau Panjang selain Kampung Bukit Wau dan kampung Orang Asli Bukit Licin.

"Lebih menarik, titik tengah sebenarnya terletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama, Madrasah Darul Ulum yang diusahakan Sabaruddin Othman sejak lima tahun lalu.

"Sehubungan itu, kami berharap pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan membangunkan kawasan terbabit untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya.

Zainal Abidin berpendapat, suatu mercu tanda perlu dibangunkan di kawasan itu bagi membolehkan orang ramai sama ada penduduk setempat atau pelancong luar tahu kedudukan sebenar titik tengah berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga boleh disediakan di kawasan terbabit seperti jalan masuk, tempat jualan cenderahati dan ruang perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.

Bagi Sabaruddin, 43, beliau tidak keberatan membenarkan sebahagian tanahnya dibangunkan untuk kepentingan awam kerana percaya pemilihan kawasan itu ada hikmah tersendiri.

"Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas perkembangan ini, sebaliknya menerima apa juga keputusan pihak berkuasa tempatan.

"Saya difahamkan, titik tengah yang dimaksudkan itu terletak betul-betul di bawah satu daripada pondok yang digunakan sebagai asrama oleh penghuni madrasah ini. Apa yang saya tahu, pihak berkuasa bercadang mewartakannya untuk dibangunkan dengan prasarana.

"Cuma, saya berharap beberapa pondok yang berada dalam lingkaran titik itu dapat dialihkan ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya.

Madrasah Darul Ulum kini mempunyai kira-kira 100 penghuni termasuk dari kalangan remaja, anak yatim dan pasangan warga tua yang ingin mendalami ilmu agama secara percuma.

Tuesday, January 17, 2012

New members of the family

NEW MEMBER

Lama tak update blog ni kerana sibuk dengan kelas dan complete all jobs before maternity leave. so, ini hasilnya... MUHAMMAD ZULFIQAR BIN ZUL EKZAN




On 13th December 2011 @ 1126am, new member of the family..