Utusan Malaysia Online - Kesihatan
Bebaskan si kecil daripada seksa ekzema
Oleh ZUHAYATI YAZID
Gambar JEFFRI IRAN
Dari kiri Pensyarah Kanan Perunding Dermatologi dari United Kingdom, Prof. Dr Anthony Chu, Dr. Leong Kin Fon dan Pengurus Negara Leo Pharma, Tan Keng Aung pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Ekzema Atopik di Kuala Lumpur Baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------
MELIHAT kegelisahan si kecil tidak boleh duduk diam kerana gatal-gatal dan ruam di badan pasti merunsingkan hati si ibu.
Tambah memilukan apabila kesan kegatalan tersebut menyebabkan kulit si kecil menggelupas dan kemerah-merahan di seluruh badan.
Situasi ini kerap dialami oleh penghidap ekzema atopik atau dermatitis atopic sejenis penyakit radang kulit yang mencetuskan ruam gatal hingga menyebabkan rasa sakit dan resah.
Biarpun penyakit ini tidak mendatangkan bahaya dan mengancam nyawa, namun penyakit ini semakin kerap berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan alahan serta keadaan persekitaran dan udara yang tidak bersih.
Bahkan mengikut statistik Persatuan Dermatologi, ekzema atopik merupakan penyakit yang kerap menyerang kanak-kanak di seluruh dunia dengan 10 hingga 20 peratus terdiri daripada kanak-kanak berbanding satu hingga tiga peratus berlaku kepada golongan dewasa.
Perkara ini diakui oleh Pakar Runding Pediatrik dan Dermatologi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Leong Kin Fon ketika ditemui sempena Kempen Kesedaran Ekzema Atopik di kalangan kanak-kanak anjuran Leo Pharma baru-baru .
Katanya, di Malaysia, penambahan kes ekzema di lihat amat membimbangkan dari masa ke semasa iaitu sebanyak 12.6 peratus.
"Keadaan ini amat membimbangkan jika dibandingkan di negara-negara lain termasuk di Indonesia hanya 3.7 peratus," katanya.
Menurut Dr. Kin Fon, keadaan itu lebih membimbangkan apabila kes melibatkan kanak-kanak yang berusia enam hingga tujuh tahun meningkat daripada 9.5 peratus kepada 12.6 peratus.
Penghidap ekzema atopik sebenarnya mempunyai paras asid gama linolenik (GLA) dalam tubuh yang lebih rendah .
Keadaan itu menyebabkan kulit menjadi gatal dan ruam di bahagian-bahagian tertentu seperti sendi, leher dan sebagainya, menyebabkan kulit menjadi kering serta kehitaman.
Kebiasaannya, kulit pesakit ekzema atopik bukan sahaja menjadi kemerah-merahan, tetapi juga bersisik, keras dan tebal .
Tegas beliau, penjagaan kulit kanak-kanak yang mengalami ekzema biasanya sangat sangat sensitif dan memerlukan perhatian yang serius.
"Keadaan ini menyebabkan mereka memerlukan penjagaan yang eksklusif selain tidak boleh terdedah dengan keadaan yang berhabuk,'' ujarnya lagi.
Menurut Dr. Fon, penjagaan kulit kanak-kanak yang mengalami ekzema biasanya satu proses berterusan sehingga mereka dewasa.
Selain kesan kesakitan, penyakit ini juga boleh memberi tekanan emosi dan kesan kewangan bukan sahaja ke atas pesakit tetapi juga ahli keluarga, khususnya penjaga.
Malah, ia juga membataskan aktiviti harian kerana pendedahan kepada cuaca panas dan terik serta perpeluhan boleh mendatangkan kerengsaan dan kegatalan kulit.
Tambahnya, bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak ekzema di galakkan untuk mengguna pelempap.
"Ia bukan dapat melembutkan kulit tetapi juga membantu mengunci lembapan,'' ujarnya lagi.
Selain itu, ia juga dikatakan dapat membantu mengurangkan rekahan, kekeringan pada kulit dan meredakan kegatalan.
Dalam pada itu, pesakit ekzema tidak disarankan menggunakan sabun atau mandian berbuih pada kulit mereka kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan kulit.
Sebaiknya mereka disarankan menggunakan pembersih dan pelembap yang bukan sahaja berfungsi sebagai pelindung tetapi juga pelembap terutama kulit yang kering.