Thursday, August 18, 2011

Sambil-sambil menjamu selera

Sambil-sambil menjamu selera, jamu dulu pembacaan anda dengn info dibawah... hehehhe...

Kuih paling gangster= Lompat Tikam
Kuih paling sexy= Puteri Mandi
Kuih paling keji= Taik Itik
Kuih bajet cute= Cek Mek Molek
Kuih untuk awet muda= Seri Muka
Kuih paling alim= Kuih Ketayap
Kuih suka pukul= Kuih Lompang
Kuih dalam zoo= Badak Berendam
Kuih untuk Sam Polis Trafik= Kuih Sampreeeeettttt
Kuih yg bangun sendiri= Kuih Bangkit
Kuih org x mandi= Kuih Bau-lu
Kuih paling tenteram= Kuih Makmur
Kuih paling lembap= Kuih Siput

Tuesday, August 2, 2011

Utusan Malaysia Online - Bicara Agama

Utusan Malaysia Online - Bicara Agama

Surah al-Falaq elak bencana

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SURAH ini termasuk dalam Surah Makiyyah. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Ata', Ikrimah dan Jabir. Sedangkan mengikut riwayat yang lain daripada Ibn Abbas dan Qatadah bahawa ia termasuk dalam surah Madaniyah.

Ibn al-Jauzi berkata: Pendapat ini lebih kuat daripada yang pertama. Ia mengandungi lima ayat dan diturunkan selepas surah al-Fil.

Firman Allah SWT: Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai subuh.

Al-Mawardi berkata: Surah ini dimulakan dengan qul yang membawa maksud katakanlah kerana Allah telah perintahkan nabi-Nya berkata demikian.

Ibn al-Jauzi menyebut enam pendapat berkenaan tafsir al-Falaq:

i. Ia adalah waktu Subuh seperti pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Sa'id bin Jubair, Qatadah, al-Qurazi dan Ibn Zaid.

ii. Ia adalah makhluk semuanya.

iii. Ia adalah penjara dalam neraka jahanam seperti pendapat Ibn Abbas juga dan Wahab serta Suddi yang menafsirkan telaga dalam neraka jahanam atau lembah dalam neraka jahanam.

iv. Pohon kayu dalam neraka seperti pendapat Abdullah Ibn Umar.

v. Setiap yang terbelah daripada sesuatu seperti cahaya Subuh, benih yang tumbuh daripada bijian. Inilah pendapat al-Hasan.

vi. Satu nama daripada neraka jahanam. Inilah pendapat Abu Abdul Rahman Abdullah bin Yazid al-Habali.

Sayid Qutub berkata: Sama ada dipakai dengan pengertian: Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang menjadi waktu pagi yang memberi keamanan dengan cahaya siang dari segala kejahatan yang sulit dan tersembunyi atau dipakai dengan pengertian Aku pohon perlindungan pada Tuhan yang memelihara seluruh makhluk yang memberi keamanan dari segala kejahatan makhluk.

Oleh itu kedua-dua pengertian ini sesuai dengan ayat-ayat yang kemudian.

Firman Allah SWT: Dari kejahatan makhluk-Nya.

Berkenaan dengan ayat ini ada tiga pendapat:

i. Ia adalah umum. Inilah pendapat yang azhar.

ii. Ia adalah semua kejahatan yang diciptakan seperti Iblis dan zuriatnya. Inilah pendapat al-Hasan.

iii. Neraka jahanam. Inilah pendapat al-Mawardi.

Al-Maraghi berkata: Aku berlindung, memohon pelindung kepada zat yang menjadi Tuhan semua makhluk, pencipta segala yang ada dari segala penyakit dan keburukan yang menimpaku antara salah satu makhluk daripada makhluk-makhluk seluruhnya.

Kemudian disebutkan secara khusus sebahagian makhluk yang banyak mendatangkan bencana, lalu memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada kejahatan mereka dan menolak bencana yang ditimbulkan olehnya.

Firman Allah SWT: Dan dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita.

Maksud ayat ini pada perkataan ghasiq ada empat pendapat:

i. Matahari apabila tenggelam. Inilah pendapat Ibn Shihab.

ii. Bulan apabila ditutupi awan.

iii. Bintang thuraya apabila jatuh.

iv. Malam yang berlabuh kerana pada waktu itu keluarnya binatang buas dan serangga. Begitu juga penjahat berkeliaran pada waktu itu. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Dahhak, al-Suddi dan lain-lain.

Al-Maraghi berkata: Iaitu daripada kegelapan malam ketika malam itu datang dan menutup segala sesuatu dengan kegelapannya.

Malam hari gelap-gelita itu mengerikan dan menimbulkan ketakutan kerana kegelapan malam menjadi tempat berlindung bagi orang jahat ketika bermaksud jahat dan kegelapan malam menolong bagi musuh.

Firman Allah SWT: Dan daripada kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul.

Al-Imam Muhammad Abduh berkata: Dalam masalah ini, terdapat banyak hadis yang menerangkan bahawa baginda pernah disihir oleh Labid Ibn al-A'sam. Sihir itu telah berjaya mempengaruhi (meresapi) diri baginda, sehingga mengkhayalkan baginda dan menyebabkan baginda seolah-olah melakukan sesuatu padahal baginda tidak melakukannya, atau baginda seperti mendatangi sesuatu, sedangkan Baginda tidak mendatanginya.

Kemudian, Allah SWT menjelaskan kepadanya hal itu, seterusnya bahan sihir itu dikeluarkan daripada sebuah perigi. Setelah itu barulah Rasulullah SAW sembuh daripada penderitaannya dan diturunkan surah ini.

Sudah tentu pengaruh sihir terhadap Nabi Muhammad SAW itu menyentuh akan dan mempengaruhi rohani Baginda. Jika demikian, benarlah kata-kata kaum Musyrikin tentang Baginda itu sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Kamu tidak menurut melainkan seorang yang kena sihir. (al-Israk: 47)

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

Diet ketika berpuasa

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SYURGA makanan’. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan.

Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, “cukup tak makanan kita hari ni?”. Ada pula yang berkata, “tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk.”

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan.

“Puasa dapat membantu individu untuk mengawal pemakanannya. Ia dapat membantu dalam pengawalan berat badan di samping melatih individu untuk lebih berdisiplin pada makanan. Pemilihan makanan semasa bersahur dan berbuka penting kerana ia akan memberikan kesan terhadap peningkatan atau penurunan berat badan. Pengambilan makanan yang manis, berlemak atau bergoreng boleh menyebabkan peningkatan berat badan,” ujar Pakar Diet Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che ‘ Lah.

Untuk bersahur, disarankan mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan termasuklah makanan yang mengandungi fiber .

Ini kerana makanan ini dapat bertahan selama lebih kurang lapan jam dan ini dapat mengurangkan rasa lapar selepas bersahur sehingga waktu berbuka.

“Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks). Makanan yang mengandungi serat (juga dapat bertahan agak lama) adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat dihadam dapat bertahan 4 jam sahaja. Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin,” tambahnya.

Menurut Nor Lizawati, pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Justeru itu, kurangkan mengambil makanan yang tinggi kandungan garam atau masin kerana ini boleh mengakibatkan rasa dahaga pada siang hari.

Misalnya untuk berbuka, orang ramai dinasihatkan untuk mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

“Puasa boleh melatih individu lebih berdisiplin pada makanan. Untuk mereka yang cuba mengurangkan berat badan, jangan abaikan keperluan nutrien oleh badan kerana ini boleh menyumbang kepada risiko untuk mendapat masalah kesihatan dan badan akan cepat lesu. Ini akan memberikan kesan kepada aktiviti seharian. Jangan terlalu obses untuk menurunkan berat badan tetapi kesihatan diabaikan. Amalkan diet yang seimbang,” nasihatnya.

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

Utusan Malaysia Online - Kesihatan

Pemeriksaan awal cegah darah tinggi

Oleh SHOLINA OSMAN

Pemeriksaan kesihatan adalah adalah langkah terawal yang disifatkan paling terbaik dalam usaha mencegah serangan gejala penyakit darah tinggi.

Tetetapi ia mungkin bukan amalan di kalangan kita, tetapi lebih baik disegerakan pemeriksaan supaya apa juga penyakit terutama darah tinggi dapat dikesan di peringkat lebih awal.

Ini kerana penyakit darah tinggi yang dikenali sebagai pembunuh senyap itu biasanya tidak menunjukkan apa-apa tanda di peringkat awal.

Malah kata Pakar Perubatan Hospital Pusrawi, Dr. Shaharuddin Che Kadir pemeriksaan kesihatan itu menjadi lebih penting terutama kepada mereka yang tergolong dalam kategori berisiko tinggi.

"Contohnya mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, kurang aktiviti fizikal, menghidap kencing manis, mempunyai paras kolesterol yang tinggi dan sejarah darah tinggi di kalangan keluarga,'' katanya.

Beliau berkata, dengan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dapat melakukan usaha pencegahan dari awal.

"Kajian yang dilakukan di Malaysia (Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Ke 3) menunjukkan 42.6 peratus rakyat negara ini menghidap darah tinggi pada 2006,'' katanya.

Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 29.9 peratus semasa kajian pada 10 tahun sebelum itu.

"Kajian pada tahun 2006 juga menunjukkan hanya 36 peratus sahaja yang mengetahui mereka menghidap darah tinggi dan hanya 87.7 peratus daripada mereka yang menerima rawatan,'' katanya.

Dr. Shaharuddin berkata, sebahagian besar pesakit yang menerima rawatan pula tidak berada pada tahap pengawalan darah tinggi yang baik.

"Penyakit darah tinggi perlu dikawal dengan baik kerana ia sebenarnya menjadi salah satu penyebab utama serangan jantung, lemah jantung, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang,'' katanya.

Mengenai punca penyakit darah tinggi, kata Dr. Shahruddin, lebih daripada 90 peratus tidak mempunyai penyebab yang khusus dan dipanggil essential hypertension.

"Walaubagaimanapun ia berkait rapat dengan faktor genetik, berat badan berlebihan, pemakanan yang tidak sihat dan peningkatan umur,'' katanya.

Selain itu, katanya, sebilangan kecil penyakit darah tinggi disebabkan oleh penyakit-penyakit lain dan dipanggil secondary hypertension.

"Antara penyebabnya ialah penyakit buah pinggang, primary hyperaldosteronism, cushing syndrome dan phaeochromocytoma," katanya.

Tambahnya, terdapat juga sebilangan pesakit mengalami tekanan darah tinggi hanya bila datang berjumpa doktor yang dinamakan white-coat hypertension atau office hypertension.

"Jika mengesyaki perkara ini biasanya doktor akan menyarankan pesakit merekod bacaan tekanan darah di rumah atau membuat pemeriksaan tekanan darah menggunakan alat merekod tekanan darah yang dipakai pesakit selama 24 jam,'' katanya.

Selain itu, katanya, pemakanan juga turut mempengaruhi kemungkinan seseorang itu boleh mendapat penyakit darah tinggi.

"Kajian menunjukkan pemakanan yang sihat mengurangkan risiko penyakit darah tinggi dan juga menurunkan tahap tekanan darah pesakit darah tinggi,'' katanya.

Tambahnya, salah satu kajian klinikal dinamakan DASH (Dietary Approaches to Stop Hypertension) menunjukkan keberkesanan pemakanan yang sihat untuk menurunkan tekanan darah.

"Pemakanan DASH merangkumi meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, ikan dan kekacang,'' katanya

Diet itu juga menyarankan pengurangan pengambilan garam, gula, minuman yang mengandungi gula, mengurangkan pengambilan lemak tepu dan daging.

Selain itu, katanya, penyakit darah tinggi dan juga kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan masalah atherosclerosis - kerosakan salur darah yang mengakibatkan salur darah menjadi keras dah sempit.

Katanya, akibat kerosakan salur darah, pesakit boleh mengalami serangan jantung dan angin ahmar.

Walaubagaimanapun tidak semua pesakit yang mempunyai kolesterol tinggi mengidap penyakit darah tinggi dan begitu juga tidak semua pesakit darah tinggi mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Tetapi kebiasaannya kedua-dua penyakit itu berkait rapat.

"Stres boleh meningkatkan tekanan darah untuk seketika tetapi kesan jangka panjang stres keatas tekanan darah masih tidak begitu jelas,'' katanya.

Begitupun pesakit darah tinggi disaran mengambil langkah-langkah mengurangkan stres dan mendapatkan rehat secukupnya sebagai sebahagian daripada penjagaan kesihatan mereka.

Dr. Shahruddin memberitahu, darah tinggi boleh dielak dengan mengamalkan cara hidup yang sihat.

Ia merangkumi mengawal berat badan di mana mesti mengekalkan berat berat badan yang ideal iaitu jisim berat badan 18.5-22.9 kg/m2.

"Jika mengalami masalah berat badan berlebihan atau obes, penurunan berat badan disyorkan.

"Sebaiknya ambil makanan yang rendah lemak, mengurangkan penggunaan minyak dan santan, mengurangkan pengambilan garam dan gula dan juga meningkatkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin,'' katanya.