Monday, March 26, 2012

Berita Harian Online | Fenomena Ekuinoks

Berita Harian Online | Fenomena Ekuinoks

Fenomena Ekuinoks


Oleh Rohaniza Idris



2012/03/25



Bayang lesap: Kejadian matahari atas kepala tanpa bayang landa Malaysia esok, cetus situasi pelik namun bukan dianggap fenomena astronomi



AWAL bulan lalu, fenomena dunia tanpa bayang dilaporkan berlaku di Bogor dan Jakarta, Indonesia. Dalam kejadian itu, tepat jam 12 tengah hari bagi tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang sendiri di bawah sinar matahari kerana ia berada tepat atas kepala.



Fenomena itu mendapat liputan kebanyakan akhbar di republik berkenaan dan beberapa negara Asia termasuk Malaysia. Banyak persoalan ditimbulkan hasil liputan berkenaan dan ramai yang ingin mengetahui mengenai fenomena yang jarang didengari itu.

RONA minggu ini mendapatkan penjelasan daripada Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) mengenai fenomena dunia tanpa bayang bagi merungkai kejadian itu dari pandangan astronomi. Ketua Unit Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, fenomena tanpa bayang sebenarnya berlaku setiap hari sepanjang tahun dan ia bukannya satu kejadian yang luar biasa atau pelik.



Mohd Zamri berkata, kejadian itu tidak dianggap sebagai fenomena astronomi, namun ia fenomena yang disukai dan sangat dekat dengan orang ramai.



“Fenomena hari tanpa bayang dianggap menarik apabila ia berlaku ketika matahari melintasi garisan khatulistiwa seperti yang berlaku di Bogor Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini. Selain itu, fenomena ini juga turut dianggap istimewa ketika matahari melintasi garisan Sartan di Hemisfera Utara dan garisan Jadi di Hemisfera Selatan bumi,” katanya.



Menjelas lanjut, Mohd Zamri berkata, kejadian itu adalah fenomena yang biasa berlaku iaitu sebanyak dua kali setiap tahun pada suatu garis lintang tertentu di antara garisan Sartan dan garisan Jadi. Ini kerana pada ketika itu, matahari berada tepat di atas garisan lintang berkenaan.

“Malaysia akan turut mengalami fenomena hari tanpa bayang tepat waktu tengahari di beberapa tempat mengikut kedudukan garisan-garisan lintang tertentu yang melintasi negara bermula esok hingga Khamis ini. Ia akan berulang berlaku semula pada 28 September hingga 2 Oktober depan,” katanya.



Mohd Zamri menjelaskan fenomena itu juga dikenali sebagai peristiwa Ekuinoks apabila Matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika ia bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara Bumi. Kejadian ini berlaku setiap Mac dan matahari juga akan melintasi Khatulistiwa dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan Bumi setiap September pula.



"Tiada yang istimewa pada hari berkenaan selain matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengahari. Ini menyebabkan kita tidak nampak bayang-bayang kita jika berdiri di tengah panas." katanya.



Fenomena berkenaan juga berlaku setiap hari tetapi di lokasi berbeza mengikut garis lintang kedudukan pergerakan matahari. Ini bermakna setiap negara yang berada di antara garisan Sartan dan Jadi, termasuk Khatulistiwa, akan merasai fenomena berkenaan.



Fenomena berkenaan juga berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu dua hingga lima minit serta tidak memberi kesan langsung kepada penduduk bumi seperti kejadian gerhana bulan dan matahari.



Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi dan ahli sains Isaac Newton berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah tarikan itu. Disebabkan ketika berlakunya gerhana matahari, bulan berada hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan paras air laut dan mungkin angin yang memberi kesan kepada cuaca.



Gerhana bulan dan matahari juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini. Contohnya, jika berlaku gerhana matahari di mana waktu siang tiba-tiba bertukar menjadi gelap seperti malam, mungkin haiwan seperti burung akan keliru dan menyebabkan ia terbang pulang ke sarang atau tidak berhaluan.



Berbeza dengan kedua-dua gerhana berkenaan, fenomena tanpa bayang hanya kejadian tiada bayang kelihatan pada tepat waktu tengahari di sesuatu tempat ketika matahari melintasi garisan lintang kawasan berkenaan. Selepas daripada tarikh itu, bayangan mereka akan kelihatan semula jika dilihat di atas tanah pada tepat waktu tengahari kerana kedudukan matahari yang semakin beralih ke garis lintang sama ada arah utara atau pun mungkin arah selatan.



Semua bandar di dunia yang berada di antara garisan lintang 23.5 darjah Utara (garisan Sartan) dan garisan lintang 23.5 darjah Selatan (garisan Jadi) akan mengalami keadaan itu dan dalam tempoh setahun, hemisfera selatan terlebih dulu mengalaminya seperti di Australia pada bulan Disember hingga Januari.



Sebelum ini, tempat popular yang menjadi tumpuan ialah bandar Pontianak, Kalimantan Barat, kerana kedudukannya betul-betul di garisan Khatulistiwa. Bandar itu akan mengalami fenomena itu dua kali setiap tahun iaitu pada setiap 21 Mac dan 23 September.



Fenomena sama yang berlaku di Makkah pada 28 Mei dan 15 Julai setiap tahun, dimanfaatkan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk membetulkan arah kiblat masing-masing berdasarkan kepada unjuran arah bayang matahari di kawasan setempat masing-masing pada waktu itu akan menghala Makkah.

Monday, March 12, 2012

Berita Harian Online | Pekan pusat automotif dunia

Berita Harian Online | Pekan pusat automotif dunia

Pekan pusat automotif dunia


Oleh Abdul Razak Raaff, Irwan Shafrizan Ismail dan Mahanum Abdul Aziz

bhnews@bharian.com.my

2012/03/12





NAJIB melihat dari dekat kereta Volkswagen Passat selepas melancarkan Volkswagen Passat Pemasangan Tempatan sambil Mohd Kamil Jamil (kiri) pada pelancaran di DRB Hicom Pekan, semalam.Kerajaan ambil pelbagai tindakan termasuk tarik nilai pelaburan besar



PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sedang mengambil pelbagai tindakan termasuk menarik nilai pelaburan besar untuk merealisasikan Pekan sebagai pusat automotif utama antarabangsa. Perdana Menteri berkata, ia dijangka mewujudkan 10,580 peluang pekerjaan dan akan menyumbang RM12 bilion kepada pendapatan negara kasar menjelang 2015. Beliau berkata, usaha transformasi itu membolehkan Pekan digelar hab automotif yang terkenal terutama bagi kerja pemasangan kereta, pembuatan dan komponen serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).



Malah, katanya, suntikan pelaburan RM1 bilion menerusi usaha sama DRB-HICOM Berhad dan Volkswagen bagi tempoh empat tahun adalah antara tindakan diambil kerajaan bagi tujuan itu.



“Projek usaha sama dimeterai Disember 2010 sebenarnya banyak memberi manfaat kepada kita seperti mewujudkan peluang pekerjaan dan menyumbang pendapatan kepada warga tempatan.



“Jumlah pekerja DRB-HICOM yang ketika ini 2,300 akan bertambah 3,300 dan Pekan juga sedang dibangunkan menjadi sebahagian kelompok bandar pertumbuhan pembangunan merangkumi Kuantan, Gebeng dan Gambang sama seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

”Kita boleh lihat transformasi ini secara berperingkat menerusi kemudahan prasarana rangkaian jalan raya lebih baik, perkhidmatan jalur lebar untuk teknologi maklumat, institusi pengajian tinggi, penjagaan kesihatan dan kemudahan lain yang semuanya untuk keselesaan rakyat,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran kereta Volkswagen Passat pemasangan tempatan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, di sini, semalam.



Setakat ini, 300 unit Volkswagen Passat 1.8TDI pemasangan tempatan sudah dihasilkan di Kompleks Automotif DRB-HICOM, yang mengikut standard kualiti yang ketat.



Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Pengerusi DRB-HICOM, Syed Mohamad Syed Murtaza, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Ketua Perkilangan Luar Negara Kumpulan Volkswagen AG, Dr Christof Spathelf dan Ketua Operasi Komersial China/ASEAN Volkswagen, Wei Ming Soh.



Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, untuk industri automotif mengekalkan daya saing, mereka perlu melakukan penstrukturan semula bagi menghasilkan produk secara besar-besaran.



Sementara itu, ketika melancarkan program Vitamin 1Malaysia peringkat kebangsaan, penyampaian sumbangan program Yayasan Pembangunan 1Malaysia Berhad (Yayasan 1MDB) serta penyampaian ang pau Tahun Baru Cina, di Dataran Pekan, beliau berkata pelbagai sumbangan dan bantuan berterusan diberi kepada rakyat adalah hasil kemampuan kerajaan mengurus tadbir serta menjana keuntungan negara secara berhemat dan bijak.



Sebanyak 7,321 sekolah seluruh negara dengan 516,472 pelajar terbabit dalam program Vitamin 1Malaysia, bagi membantu meningkatkan tumbesaran dan taraf pemakanan, seterusnya kecemerlangan pencapaian akademik pelajar.

Berita Harian Online | Lolipop pendafluor dilarang

Berita Harian Online | Lolipop pendafluor dilarang

Lolipop pendafluor dilarang






2012/03/12





PEGAWAI CAP, NV Subbarow menunjukkan lolipop pendafluor yang ada bahan kimia berbahaya pada pemegangnya, baru-baru ini.Batang plastik gula-gula mengandungi bahan boleh sebabkan kanser



KUALA LUMPUR: Kerajaan mengenakan larangan bagi kemasukan sejenis gula-gula lolipop kerana dipercayai mengandungi bahan kimia berbahaya, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam. Beliau berkata, Kementerian sudah meningkatkan kawalan di pintu masuk negara untuk menghalang kemasukan lolipop pendafluor. “Bahan itu kini diletakkan pada tahap 5 iaitu pengimportannya diletakkan di bawah syarat kebenaran sebelum diletakkan pada tahap 6, iaitu gula-gula berkenaan langsung tidak dibenarkan dibawa masuk,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan 'Jom Sihat' di Kolej Tunku Abdul Rahman, Wangsa Maju di sini, semalam.



Beliau percaya lolipop itu dibawa masuk dari luar negara kerana serbuan pihak penguat kuasa kementerian berdasarkan alamat pada pembungkus gula-gula itu, didapati alamat yang digunakan palsu.



Baru-baru ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengharamkan penjualan gula-gula lolipop pendafluor kerana didakwa mengandungi bahan kimia berbahaya.



Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata bahan kimia yang terkandung pada batang pendafluor itu sangat berbahaya dan menjadi kegilaan kanak-kanak.

Katanya, berdasarkan ujian oleh Institut Kebangsaan bagi Menguji Kebersihan dan Keselamatan Makanan di bawah Kementerian Kesihatan Vietnam, batang plastik lolipop itu mengandungi bahan seperti ftalat dan Poly Aromatic Carbon (PAH).



“PAH adalah sejenis bahan kimia yang bertoksik dan hanya digunakan untuk tujuan industri seperti mencairkan cat. Ia boleh menyebabkan kanser atau mutasi gen dalam manusia,” katanya.



Dalam pada itu, Liow berkata gejala obesiti di kalangan penduduk Malaysia meningkat tiga kali ganda iaitu daripada 4.4 peratus pada 2006 kepada 15.1 peratus pada tahun lalu.



Sehubungan itu, penyakit kencing manis di kalangan penduduk negara ini juga menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 11.6 peratus pada 2006 kepada 15.2 peratus pada tahun lalu. – BERNAMA

Wednesday, March 7, 2012

document.title

document.title

Berita Harian Online | 19 paling aman di dunia

Berita Harian Online | 19 paling aman di dunia

19 paling aman di dunia
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohdiskandar@bharian.com.my
2012/03/07


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat Bilik Kawalan CCTV Majlis Perbandaran Kulai di majlis Program Bandar Selamat Negeri Johor dan Lawatan Kerja Inisiatif NKRA di Kulaijaya, semalam.Penurunan indeks jenayah negara 11 peratus mampu tingkat keyakinan pelabur

KULAIJAYA: Penurunan indeks jenayah sebanyak 11 peratus yang direkodkan tahun lalu membolehkan Malaysia diiktiraf oleh Indeks Keamanan Global 2011 sebagai antara negara paling aman dan selamat di Asia Tenggara serta berada pada tempat ke-19 daripada 153 negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pencapaian itu adalah hasil tindakan proaktif polis dan agensi berkaitan menangani jenayah hingga berhasil mencatatkan penurunan melebihi sasaran lima peratus. “Pencapaian ini diiktiraf secara global apabila Indeks Keamanan Global 2011 meletakkan Malaysia di tangga 19 daripada 153 negara di dunia berbanding tempat 26 pada 2009. Hasilnya menyebabkan masyarakat antarabangsa semakin yakin melabur yang menyaksikan pelaburan asing meningkat sebanyak RM33 bilion tahun lalu, mengatasi RM29 bilion yang dicapai sebelum kekangan ekonomi dunia pada 2007,” katanya semalam.

Beliau berucap pada Perasmian Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012 dan Lawatan Kerja Inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di perkarangan bangunan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), di sini. Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

Muhyiddin juga berkata, tugas mengurangkan kadar jenayah tidak hanya terletak pada kerajaan, sebaliknya rakyat memainkan peranan penting memelihara keselamatan awam dan individu supaya selamat daripada jenayah.

“Pembabitan masyarakat setempat adalah kritikal dalam memberi petunjuk dan penambahbaikan usaha menangani jenayah. Perkongsian pintar antara polis dan anggota awam melalui platform seperti RELA dan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) adalah batu loncatan penting menjayakan usaha memerangi jenayah. Namun, dalam keghairahan mengurangkan kadar jenayah, Malaysia hendaklah menjadi negara yang sentiasa mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman bandar raya New York mengurangkan kes jenayah setiap 100,000 penduduk daripada 6,363 pada 1990 kepada 3,099 kes pada 2000 menunjukkan penambahbaikan drastik itu tidak mustahil dilakukan di Malaysia.

“Saya mahu petugas SRS dan ahli persatuan penduduk untuk turut sama terbabit dalam usaha memerangi jenayah demi menjaga kesejahteraan negara,” katanya.

Mengulas Program Bandar Selamat Negeri Johor 2012, Timbalan Perdana Menteri berkata, 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah menerima peruntukkan berjumlah RM26.1 juta untuk melaksanakan langkah impak tinggi menerusi Program Bandar Selamat.

Ia membabitkan pengasingan laluan pejalan kaki daripada laluan bermotor, pemasangan cermin keselamatan, kamera litar tertutup (CCTV), pencahayaan, penggera keselamatan dan pemetaan sistem maklumat geografi (GIS) jenayah.

Beliau berkata, pengurangan jenayah di Johor jauh lebih baik berbanding kadar pengurangan purata negara yang masing-masing sebanyak 7.7 dan 10.2 peratus bagi jenayah jalanan dan jenayah berat.

“Namun, kerajaan belum berpuas hati dan akan terus mempergiatkan langkah Program Bandar Selamat. Oleh itu, 108 CCTV, 965 lampu jalan serta 1,500 tempat letak motosikal berkunci sedang giat dirancang di sekitar bandar seluruh Johor tahun ini.

“Rekod prestasi negara maju menunjukkan pusat bandar akan membentuk nadi ekonomi berpendapatan tinggi. Oleh itu, persekitaran bandar selamat dan tenteram mampu menarik penduduk berkemahiran tinggi untuk merebut peluang pelaburan dan pekerjaan,” katanya

myMetro | Pupuk kemesraan ibu, bayi

myMetro | Pupuk kemesraan ibu, bayi

Pupuk kemesraan ibu, bayi
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my
APABILA ingin keluar rumah pasti pelbagai keperluan akan ‘diusung’ bersama terutama jika membawa bayi, sama ada menyediakan bekalan susu, lampin, baju dan paling penting ialah kereta sorong bagi memberi lebih keselesaan terutama jika berada lama di luar rumah.

Namun, adakah ia praktikal untuk dibawa terutama jika berada di tempat tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah ataupun kawasan karnival?




SELESA...Syazrina bersama anaknya, Adryn Johanna Khairold Safri, satu setengah bulan yang lena dalam gendongan menggunakan gelung silang.

BEG SILANG BAYI...bahaya jika digunakan untuk membawa bayi keluar beriadah.

SUKAR BERNAFAS...posisi bayi yang diletakkan dalam beg silang boleh menyebabkannya sukar bernafas.

PRAKTIKAL...Nordziah Bakri menggunakan gendong lelilit pada kedua-dua bahu untuk menggendong anaknya.
Sudahlah terpaksa bersesak-sesak dengan ribuan pengunjung, ibu atau bapa terpaksa pula menolak kereta sorong yang membawa bayi mereka. Bukankah ia memberikan satu perasaan tidak selesa?

Malah, penulis sendiri cukup tidak gemar membawa kereta sorong sekiranya berada di luar bersama anak kerana ia mengganggu kelancaran ‘aktiviti’ yang ingin dilakukan.



Sungguhpun terpaksa bersusah-payah, penulis sanggup mendukung ataupun menggunakan pembawa bayi walaupun untuk jangka masa lama kerana ia lebih praktikal daripada terpaksa berebut dengan orang ramai.


Menurut Pegawai Perhubungan Awam Malaysian Babywearers, Adriana Thani, kebanyakan ibu bapa yang menggunakan pembawa bayi biasanya bukan saja menyebabkan ketidakselesaan pada badan tetapi juga si anak itu sendiri.

Katanya, posisi badan mereka yang menggunakan pembawa bayi biasa juga berada dalam keadaan tidak baik iaitu badan akan membongkok ke hadapan bagi menampung berat bayi yang dibawa.

“Keadaan ini akan memberikan tekanan pada bahagian pinggang dan belakang ibu atau bapa dan jika menggunakannya untuk jangka masa lama, ia juga boleh memburukkan lagi keadaan.

“Begitu juga dengan bayi, pembawa bayi biasa tidak direka untuk memberikan sokongan terutama di bahagian pinggang dan pinggul bayi dan ini boleh memberi kesan apabila mereka belajar berjalan nanti,” katanya ditemui pada Expo Motherhood di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Di samping itu, penggunaan beg silang yang didakwa mampu memberikan lebih keselesaan kepada bayi serta memudahkan aktiviti harian juga turut mengundang bahaya yang lebih buruk kepada bayi.

Reka bentuk beg silang ini lebih kepada bentuk segitiga dengan bahagian bawah yang rata serta tinggi di bahagian tepinya.

Adriana berkata, bentuk sebegini akan menyebabkan muka bayi berada terlalu rapat dengan bahagian tepi beg berkenaan. Jika bergerak sedikitpun, bayi terbabit makin merapati bahagian tepi beg dan ini boleh menyebabkan bayi mengalami kekurangan oksigen dan lemas.

“Bentuknya yang terlalu labuh serta bahagian dalaman beg juga terlalu dalam hingga menyebabkan kedudukan bayi terperosok ke bawah.

“Ibu atau bapa pasti susah untuk melihat wajah bayi yang dibawa di dalam beg silang sebegini hinggakan sukar untuk memastikan mereka boleh bernafas dengan baik ataupun tidak disebabkan strukturnya yang lebih kepada bentuk beg biasa,” katanya.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, apabila bayi diletakkan di dalamnya, posisi badannya akan berada dalam keadaan merengkok hinggakan dagu boleh menyentuh dadanya.

“Posisi sebegini amat berbahaya bagi bayi kerana boleh menyebabkan pernafasan bayi terganggu akibat terlalu menekan lehernya hinggakan bayi terpaksa berusaha bernafas dengan lebih kuat.

“Malah, jika ibu atau bapa memberi susu kepada bayi dalam keadaan ini juga boleh menyebabkannya tersedak tanpa disedari ibu bapa kerana keadaan kain tepi beg yang berlebihan menutupi mukanya,” katanya.

Disebabkan itulah, katanya, cara paling mudah untuk membawa bayi adalah dengan menggendongnya menggunakan kain yang diikat secara manual sama seperti yang biasa menjadi amalan golongan ibu di kawasan pedalaman.

Melalui kaedah menggendong bayi seperti ini ia dapat menguatkan kemesraan antara si pemakai dan bayi kerana bayi berada kedap dan rapat pada badan si ibu, malah ia juga membolehkan si ibu melakukan kerja rumah dengan lebih mudah tanpa perlu berasa risau anak menangis ataupun sebaliknya.

Bagaimanapun kini, terdapat pelbagai kelengkapan mengendong yang ada dalam pasaran antaranya dompet gantung, gelung silang, mei tai, pembawa bertali lembut dan kain lelilit yang direka semula mengikut kesesuaian fesyen terkini.

Selain itu, Adriana berkata, penggunaan peralatan menggendong mempunyai banyak kelebihan antaranya dari sudut fisiologi iaitu bayi yang digendong ketika keluar rumah mampu tidur dengan lebih mudah serta kurang meragam.

Paling penting ialah mengetahui kaedah yang digunakan betul iaitu memastikan bayi berada dalam kedudukan terbaiknya iaitu punggungnya perlu terletak lebih rendah daripada lutut.

“Boleh dikatakan bayi berada dalam kedudukan ‘M’ dengan kakinya berada dalam keadaan terkangkang luas memeluk badan ibunya.

“Malah, kedudukan bayi yang digendong juga perlu berada tinggi iaitu pada aras dada dan dagu ibunya serta kain yang digunakan untuk melilit perlu ketat bagi memberikan sokongan kepada tulang belakang dan pinggul apabila dikendong,” katanya.

Ini diakui sendiri ibu kepada tiga anak, Faridah Halina Zairi, 34, apabila menggunakan kaedah menggendong jenis lelilit untuk anaknya, Khadeeja Azmin, lima bulan.

“Mungkin pada pandangan orang ramai cara sebegini agak menyusahkan kerana kain digunakan perlu dililit pada badan tetapi yang nyata bayi menyukainya kerana lebih selesa dan berada dekat dengan ibu.

“Posisi badan bayi juga berada dalam keadaan tidak terlalu melengkung seperti penggunaan pembawa bayi biasa kerana kain yang digunakan memberikan sokongan penuh di bahagian pinggul bayi,” katanya.

Faridah Halina berkata, tidak dinafikan isu utama yang menjadi persoalan adalah keselamatan bayi dan melalui kaedah ini, si ibu tidak perlu risau bayi akan terjatuh kerana ikatan kain yang digunakan kukuh mengikut saiz bayi.

Sementara itu, Syazrina Ismail, 31, pula berkata, dia menggunakan kaedah sebegini bertujuan memastikan anaknya berada dalam keadaan lebih tenang serta kurang menangis.

Katanya, kaedah menggendong begini amat mudah dan hanya menggunakan silangan kain pada satu bahu saja bergantung pada berat bayi.

“Penting untuk memastikan kedudukan anak berada dalam posisi betul bagi memastikan keselesaan serta kita tidak mengalami sebarang masalah ketika membawanya iaitu anak perlu berada dalam keadaan duduk sepenuhnya.

“Ini akan memastikan bayi anda selesa ketika membawanya terutama jika berada di kawasan sesak dan mereka akan tidur lena tanpa mengganggu sebarang aktiviti dilakukan,” katanya.

Pengasas perniagaan barangan kelengkapan bayi secara dalam talian JumpSacBaby.com ini berkata, anak pertamanya sebelum ini mengalami masalah kolik iaitu kerap menangis apabila dia tiada di sisi.

“Disebabkan itu, saya mencari sesuatu yang praktikal untuk digunakan dan mula menggunakannya ketika anak berusia tiga bulan dan boleh dikatakan ia agak lewat tetapi berjaya mengurangkan masalah itu sepenuhnya.

“Kini untuk anak kedua, saya menggunakannya sejak awal dan nyata dia tidak banyak ragam dan saya mampu melakukan banyak tugasan di rumah,” katanya

Tuesday, March 6, 2012

Berita Harian Online | Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai

Berita Harian Online | Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai

Ayat al-Quran pada kad kahwin tak sesuai


2012/03/06
Perbuatan buang merata-rata jejas kesucian: JAKIM

KUALA LUMPUR: Perbuatan mencetak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW pada kad jemputan kahwin boleh menjejaskan kesucian Islam jika kad itu dibuang merata-rata, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha. Beliau berkata, tindakan itu juga mungkin boleh dikategorikan sebagai menghina ayat al-Quran. “Istilah suci dalam Islam seperti Bismillah, Assalamualaikum dan sebagainya tidak boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya kerana dikhuatiri akan disalah guna dan diletak di tempat yang tidak sewajarnya,” katanya.

Namun, Othman berkata pihak terbabit meletakkan ayat suci al-Quran dan hadis pada kad jemputan kahwin dipercayai berniat baik iaitu ingin memberi peringatan dan berdakwah kepada orang lain, bagaimanapun ia patut dielakkan.

“Jika bertujuan untuk memberi pengingatan hanya memadai dengan menulis maksudnya saja,” jelasnya.

Beliau juga berkata pihak yang menerima kad jemput kahwin yang tertulis ayat al-Quran sepatutnya lebih prihatin dan menjaga kesucian ayat itu dengan tidak membuang bahan yang mengandunginya di merata-rata tempat.
Katanya, mengikut Garis Panduan Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam yang dikeluarkan JAKIM, perbuatan membuang bahan yang mengandungi ayat al-Quran boleh dikategorikan sebagai perkara yang menyentuh kesucian Islam.

Beliau berkata, pelupusan bahan penerbitan yang mengandungi ayat al-Quran sepatutnya dibuat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, seorang pembuat kad perkahwinan, Mohd Natasha Md Nasir berkata, pihaknya sentiasa menasihatkan pelanggan yang ingin mencetak istilah suci termasuk Bismillah supaya tidak berbuat demikian.

“Kalau ada pelanggan yang hendak cetak Assalamualaikum dalam tulisan jawi pun kita tak galakkan, sebaliknya kita cadang supaya ditulis dalam tulisan rumi,” katanya.

Seorang lagi pembuat, Nor Azli Masrudin berkata, pihaknya sediakan format standard, tapi kalau pelanggan nak juga cetak kalimah-kalimah suci kita kena ikutlah,” katanya. – BERNAMA

Monday, March 5, 2012

Berita Harian Online | PERODUA pertimbang skim pajakan individu

Berita Harian Online | PERODUA pertimbang skim pajakan individu

PERODUA pertimbang skim pajakan individu
Oleh Ahmad Farizal Hajat
ahmadfarizal@bharian.com.my
2012/03/05
PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan mempertimbangkan cadangan skim pajakan kereta keluarannya kepada pengguna individu, jika kemerosotan jualan susulan penilaian lebih ketat oleh bank terhadap bakal pembelinya terus berlarutan.

Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata skim itu diputuskan sebaik pengeluar kereta nasional terbesar dari segi jualan itu, mendapati ia berdaya maju dan menjadi kaedah terbaik menangani krisis. “Skim pajakan kenderaan sesuatu yang kami akan pertimbangkan jika ia berdaya maju. “PERODUA mengalu-alukan perbincangan dengan syarikat automotif lain jika mereka ada cadangan mengatasi masalah semasa yang menghimpit industri automotif tempatan,” katanya, baru-baru ini mengulas strategi kumpulan jika bank terus memperketatkan syarat pinjaman.

Pengguna kini hanya terbuka kepada satu cara untuk memiliki kenderaan iaitu menerusi sewa beli dengan bank. Namun dengan pajakan, pengguna tidak lagi perlu memohon pembiayaan bank. Mereka hanya membayar ansuran kepada syarikat yang memajakkan kenderaannya.

Ia juga membolehkan pengguna menukar kenderaan baru setiap beberapa tahun tanpa perlu risau kos penjagaan, pembaharuan cukai jalan dan susut nilai.

Kini, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON), anak syarikat DRB-Hicom Bhd satu-satunya syarikat automotif yang memperkenalkan skim pemajakan kenderaan dalam negara.
Di bawah panduan baru Bank Negara 1 Januari lalu, bank perlu mengambil kira pendapatan bersih iaitu selepas ditolak potongan wajib seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan cukai berjadual (PCB) serta semua tanggungan hutang ketika menilai kemampuan pemohon membayar pinjaman. Sebelum ini bank hanya mengambil kira jumlah pendapatan kasar.

Berikutan itu, jualan kenderaan PERODUA khususnya ViVa terjejas teruk berikutan model itu di bawah kategori mampu milik selain menepati kemahuan golongan pembeli kereta pertama.

Jualan juga menurun dengan drastik terutama di utara Semenanjung dan di pantai timur, termasuk Sabah dan Sarawak.

Aminar berkata, meskipun kumpulan menanggung bebanan teruk, khususnya peningkatan stok yang tidak terjual berikutan pembeli gagal menepati piawaian bank, PERODUA masih berharap dapat mengadakan perbincangan susulan dengan Bank Negara bersama wakil bank bagi menyelaras semula langkah baru itu.

“Syarat tambahan pinjaman berhemah berdasarkan panduan baru Bank Negara mungkin ditafsir secara berlainan oleh bank.

“Begitu juga dokumen bagi menyokong pinjaman yang berbeza antara bank. Ini melambatkan proses kelulusan pinjaman,” katanya sambil mendedahkan paras pembiayaan tidak berbayarnya (NPL) masih rendah iaitu sekitar satu peratus.
Beliau berkata, PERODUA juga pada peringkat perbincangan dalaman bagi melaksana strategi lain jika masalah penurunan penjualan berpanjangan.